FATIN mohon warganet hormati privasi.
FATIN mohon warganet hormati privasi.
Najiy Jefri


“SAYA tak boleh menutup mulut orang untuk bercakap buruk mengenai pasal saya. Jika rasa cara itu dapat membahagiakannya, terpulanglah,” kata pelakon Fatin Afeefa mengenai dakwaan dirinya kembali menjalin hubungan cinta dengan lelaki berstatus suami orang.

Fatin ketika ditemui berkata, dia memilih untuk berdiam diri selama ini kerana tidak berminat untuk melayan perkara yang akan menyakitkan hatinya.

“Saya rasa berdiam diri adalah langkah terbaik. Orang yang menyebarkan cerita buruk mengenai saya tidak patut diberi perhatian.

“Bagi saya, apa yang disebarkan itu tiada kena mengena dengan diri saya. Jadi saya tidak akan sesekali melayan perkara yang akan menyakitkan hati.

“Apa yang boleh saya katakan, apa yang disebarkan langsung tidak memberi kesan kepada diri saya,” katanya.

Fatin berharap diberikan ruang kerana enggan memanjangkan isu terbabit lagi kerana bimbang kenyataannya akan disalah tafsir.

“Kalau saya ulas, bimbang orang akan tetap salahkan saya seperti kenyataan yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

“Saya mohon hormati privasi dan jangan bimbang saya baik-baik saja,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita dikenali sebagai Mag mendedahkan perbualan antara Fatin dengan suaminya di Twitter, Ogos lalu.

Wanita terbabit mendakwa Fatin masih menganggu suaminya walaupun sudah membuat permohonan maaf.

Fatin pernah berkahwin dengan pelakon, Adam Shahz, pada 21 Disember 2013 dan bercerai talak satu pada 20 Mei 2017.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:49 PM