PINTU jeriji Harum Ashrisz Spa milik Ezzaty yang diumpil pencuri dalam cubaan pecah masuk semalam. FOTO Instagram Ezzaty Abdullah dan Arkib NSTP
PINTU jeriji Harum Ashrisz Spa milik Ezzaty yang diumpil pencuri dalam cubaan pecah masuk semalam. FOTO Instagram Ezzaty Abdullah dan Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Ezzaty Abdullah menerusi akaun Instagramnya berkongsi, spa miliknya, Harum Ashrisz Spa dipecah masuk oleh individu yang tidak dikenali awal pagi tadi.

Ezzaty ketika dihubungi berkata, percubaan pecah masuk premis yang terletak di Bukit Jelutong itu bagaimanapun gagal dan tiada kerugian dilaporkan.

"Pagi tadi, pekerja spa menghubungi saya memberitahu bahawa kunci pintu pagar spa diumpil. Namun, perompak itu gagal membuka pintu jeriji dan tidak dapat masuk.

"Mujurlah tiada barang hilang. Jadi, pagi tadi saya dan suami terus membuat laporan polis dan mereka pun datang ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan," katanya kepada Harian Metro.

Ezzaty memaklumkan bahawa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang juga gagal merakam imej perompak.

"Nak dijadikan cerita, CCTV pun tak dapat rakam imej perompak itu ketika dia tengah 'buat kerja'.

"Yang sedihnya, ada kedai lain di kawasan berhampiran menjadi mangsa rompakan. Mungkin kerana gagal masuk ke spa kami, dia cuba nasib di tempat lain pula," katanya.

Ezzaty berkata, selepas ini dia akan memasang penggera sebagai ciri keselamatan tambahan untuk mengelak insiden sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 6:21 PM