EZZATY Abdullah.
EZZATY Abdullah.
Syafil Syazwan Jefri


Siapa yang tidak teruja untuk menyambut cahaya mata lebih-lebih lagi yang pertama.

Itulah yang dirasakan pelakon Ezzaty Abdullah dan suaminya yang juga pelakon, Azwan Kombos yang bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka bulan depan.

Ezzaty berkata, kerana terlalu teruja, boleh dikatakan setiap hari mereka akan keluar untuk membeli barangan keperluan bayi.

“Sejak mengandung, saya memang nak berjalan setiap hari. Setiap hari itu jugalah kami akan masuk ke kedai barangan bayi,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti hariannya sementara menantikan hari bersalin, Ezzaty sememangnya wanita hamil yang sangat aktif.

“Saya selalu juga temankan Azwan jika dia keluar berjoging. Walaupun saya tak joging sekali, saya akan berjalan dan bersiar-siar kerana tak boleh duduk diam.

“Apabila pulang ke rumah, pinggang dan kaki akan sakit-sakit, tapi tak mengapa. Kesihatan saya juga, alhamdulillah semuanya tak ada masalah,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya ketika bersalin, Ezzaty memilih untuk bersalin di pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.

Namun, ada sesuatu yang membuatkan dia berasa kurang tenang.

Ketika bersalin, Ezzaty mahu ibunya berada di sisi, namun hajatnya mungkin tidak kesampaian kerana ibu bapanya akan berangkat ke Makkah mengerjakan umrah pada tarikh dia dijangka bersalin.

“Ini pengalaman pertama saya bersalin. Tentunya saya ingin ibu berada di sisi, tapi nampaknya mereka akan ke Makkah.

“Sekiranya saya bersalin lebih awal, ibu boleh menemani saya,” katanya.

Menjengah ke usia 35 minggu kandungannya, Ezzaty dan suami juga kini sudah memilih nama untuk bayi perempuan mereka itu.

“Ada beberapa nama yang kami dah pilih, tapi Azwan lagi sukakan nama Melayu klasik. Rasanya di Malaysia belum ada lagi nama anak seperti apa yang kami pilih, jadi sama-sama kita nantikan,” katanya.

Pasangan ini juga sudah membuka akaun Instagram untuk bayi mereka menggunakan nama @aeffection.jr.

Ezzaty dan Azwan berkahwin pada 16 Julai 2016 selepas mengikat tali pertunangan pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:38 AM