KHIR (gambar kecil) meminta orang ramai mendoakan bapanya, A Rahman yang kini dirawat di hospital. FOTO Arkib NSTP
KHIR (gambar kecil) meminta orang ramai mendoakan bapanya, A Rahman yang kini dirawat di hospital. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA ingin memohon jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk memanjatkan doa buat ayahanda, Datuk A Rahman Hassan yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang," demikian kenyataan pelakon Khir Rahman yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada rakan industri.

Anak sulung kepada penyanyi pop yeh yeh terkenal itu berkata, kira-kira jam 10 malam tadi, bapanya pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

"Beliau kini direhatkan untuk rawatan dan pemantauan lanjut pihak hospital.

"Buat masa ini pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

"Mohon yang terbaik buat abah. Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat abah jua. Amin ya rabbal ‘alamin," katanya.

Khir yang dihubungi memberitahu, bapanya masih berada di wad ICU dan belum pasti bila dibenarkan pulang.

"Apa-apa perkembangan terbarunya, saya akan maklumkan kepada semua.

"Buat masa ini, dia masih dalam rawatan, tapi alhamdulillah keadaannya semakin stabil," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman, 73, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3.30 pagi akibat masalah jantung.

Beliau bagaimanapun menafikan mengalami serangan jantung kritikal, sebaliknya doktor memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.

A Rahman dibenarkan keluar dari HKL dua hari menjelang Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:46 PM