KHIR (kanan) maklumkan ibu tirinya, Fadilah (kiri) dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung dan terlalu banyak berfikir. FOTO Arkib NSTP
KHIR (kanan) maklumkan ibu tirinya, Fadilah (kiri) dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung dan terlalu banyak berfikir. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Datin Fadilah Mansor, 59, yang baru kehilangan suami, penyanyi Datuk A Rahman Hassan pada 13 Jun lalu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin akibat masalah jantung.

Anak tirinya, pelakon, Khir Rahman berkata, ibu tirinya itu dikatakan terlalu banyak berfikir sehingga kesihatannya terjejas dan terpaksa dimasukkan ke HKL.

Bagaimanapun, katanya, kesihatan Fadilah semakin stabil dan dia kini berehat dengan pemantauan rapi doktor.

“Alhamdulillah, keadaannya okey dan tiada apa-apa yang serius. Dia hanya perlu banyak berehat dan berada dalam pemantauan doktor.

“Saya pun nak dia berehat kerana dia banyak berfikir. Banyak benda yang dia nak kena urus. Dia terlalu runsing dan dalam masa sama kena jalani edah, ini semua buatkan dia tertekan.

“Dia memang patuh jalani edah dan tidak pergi mana-mana pun termasuk ke undangan majlis rumah terbuka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khir, Fadilah memang ada masalah jantung dan ketika arwah ayahnya masih hidup, mereka kerap menjalani pemeriksaan berkala bersama.

“Kalau dia susah hati, penat turun naik tangga atau terlalu runsing, barulah dia rasa nafasnya tidak berapa lancar.

“Jadi kerana itu dia rasa takut dan ajak menemaninya ke hospital. Dia ada ubat tapi makan ikut suka sahaja.

“Apapun dia okey. Cuma ketika sampai ke hospital, bacaan degupan jantungnya agak rendah, tetapi sekarang dah makin baik,” katanya.

Khir yang kali terakhir melawat Fadilah semalam memberitahu, ibu tirinya sudah boleh berbual dan bergurau dengan tetamu yang datang menziarahinya.

“Insya-Allah sekiranya tiada apa-apa, dia akan dibenarkan keluar dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas kenyataan Fadilah sebelum ini yang mahu meninggalkan kediaman Allahyarham bapanya, Khir berkata, mereka tidak berhasrat menghalang hajat itu.

“Kami memang ada pujuk dia dan kata kalau boleh biarlah dia habiskan edah di situ. Mulanya dia tidak cakap apa-apa nak mengikut saja.

“Namun kemudiannya dia beritahu sebenarnya tidak boleh tinggal di situ. Apabila dia jelaskan keadaan sebenar, kami pun faham dan berikan kebebasan buatnya.

“Saya sendiri cakap ma buatlah apa yang ma selesa. Dia memang jenis yang banyak fikir. Ada sesetengah orang memang tidak boleh tinggalkan kediaman bekas arwah suami dan sesetengah orang lain pula caranya,” katanya.

Khir bagaimanapun mengalu-alukan sekiranya Fadilah mahu pulang ke rumah itu pada bila-bila masa selepas ini.

“Pintu rumah ini sentiasa terbuka buatnya. Sekarang memang ma yang tinggal di rumah ini dan kalau dia duduk sini, kami bergilir-gilir akan menemaninya,” katanya.

Fadilah mendirikan rumah tangga dengan A Rahman pada 25 Disember 2014 sebelum penyanyi popular era pop yeh yeh bersama Orkes Nirwana itu menghembuskan nafas terakhir pertengahan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:54 PM