ZAHIRAH dan Aiman seakan masih bermimpi, teruja dan gementar apabila selamat bertunang. FOTO Instagram Zahirah Macwilson
ZAHIRAH dan Aiman seakan masih bermimpi, teruja dan gementar apabila selamat bertunang. FOTO Instagram Zahirah Macwilson
Sudirman Mohd Tahir


“INI bukan berlakon,” kata pelakon Zahirah Macwilson yang selamat bertunang dengan Aiman Hakim Ridza di Perth, Australia, pagi hari ini.

Zahirah, 24, atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol berkata, banyak dugaan dilalui sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertunang.

Namun, dia yang juga pelakon drama Curi-Curi Cinta bersyukur segalanya dipermudahkan Allah SWT.

“Terima kasih atas semua ucapan yang diberikan. Saya dan tunang seakan masih bermimpi, teruja dan gementar untuk melalui semua proses ini dalam tempoh yang agak singkat.

“Saya tidak sabar untuk berkongsi kepada semua apabila pulang ke tanah air nanti.

“Untuk sampai ke tahap ini, banyak dugaan sudah dilalui. Alhamdulillah, segalanya selesai hari ini. Terima kasih kepada keluarga dan rakan yang banyak membantu menjayakan majlis kecil kami ini,” katanya.

Dalam masa sama, Zahirah turut memuat naik status di Instagram Stories memaparkan panggilan video dengan bapanya yang juga pelakon, Zainol Macwilson yang kini berada di Perlis.

“Bukan mudah apabila perkara menjadi lebih rumit daripada apa yang mereka lihat. Terima kasih pa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 8:20 PM