ZAHIRAH (kiri) dan Zul. FOTO arkib NSTP
ZAHIRAH (kiri) dan Zul. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“Saya tidak mahu memburukkan sesiapa. Malah, apa yang lebih penting saya tidak berdendam dan benci Zul. Kalau dia nak burukkan saya, silakan,” kata pelakon popular Zahirah Macwilson sekali gus mengesahkan dia dan pelakon Zul Ariffin putus cinta sejak sebulan lalu.

Zahirah, 23, berkata, sepanjang tiga tahun bercinta banyak perkara dilalui dan biar ia tinggal kenangan.

Menurut Zahirah, punca putus cinta itu biarlah kekal menjadi rahsia dirinya dan enggan mengaibkan Zul kerana pelakon filem Tombiruo itu lebih tahu apa dilakukan.

“Sejujurnya, saya tidak sedih pun. Saya okey saja. Sepanjang tiga tahun bercinta macam-macam saya lalui. Namun, saya tidak mahu berkongsi kerana ia terlalu peribadi.

“Buat masa sekarang, saya ingin fokus kepada kerjaya. Alhamdulillah, sepanjang tahun ini jadual kerja padat. Malah, saya tidak terfikir lagi untuk berlakon dengannya jika ada tawaran.

“€œBiarlah saya simpan segala kenangan yang pernah kami lalui bersama. Kalau betul saya berperangai buruk seperti diperkatakannya, saya doakan dia temui wanita yang lebih baik,” katanya kepada Harian Metro.

Zahirah yang juga pelakon Tak Ada Cinta Sepertimu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan wujud orang ketiga hingga membuatkan hubungan mereka berakhir.

“€œSaya tak boleh nak cakap dan buka cerita mengenai perkara ini. Kalau ada yang beranggapan sebegitu, ia terpulang kepada persepsi masing-masing.

“Namun, kalau ya pun dia kembali kepada bekas kekasihnya, janganlah burukkan saya. Saya sedar diri” katanya ringkas.

Zahirah menegaskan dia tidak akan membuat pusingan U dan kembali kepada bekas kekasihnya itu.

“Tak mungkin saya kembali menerimanya. Saya masih muda dan perjalanan jauh lagi dalam bidang ini. Saya tidak mahu perkara ini mengganggu perjalanan hidup.

“Saya sudah ‘move on.’Malah putus cinta tidak buat saya lemah dan patah semangat. Saya pernah tengok kedua ibu bapa bercerai, inikan pula putus cinta,” katanya.

Dalam masa sama, Zahirah menyifatkan dakwaan Zul mengatakan dia bersawafoto dengan rakan berdekatan jenazah ibunya di masjid adalah fitnah.

“Mengenai isu saya ‘selfie’ di masjid ketika ibunya meninggal dunia tahun lalu, memang tidak wujud langsung. Saya masih waras untuk lakukan perkara berkenaan.

“Saya tidak faham kenapa dia nak bangkitkan perkara ini apabila kami putus. Malah, kenapa baru sekarang dia nak mengakui hubungan kami sedangkan sebelumnya dia terlalu berahsia daripada umum.

“Adakah sebab nama saya tengah diperkatakan dia buat semua ini? Namun, saya tidak mahu fikir bukan-bukan apa sebenarnya motif dia. Saya hormat dia sebagai pelakon senior dan tidak akan bersaing dengan dia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 9:17 AM