UKAYS tidak menyangka lagu I Love You I Miss You Raya menerima sambutan hebat peminat.
UKAYS tidak menyangka lagu I Love You I Miss You Raya menerima sambutan hebat peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


KETUA kumpulan dan pemain keyboard kumpulan Ukays, Amy mengakui gembira dengan sambutan peminat terhadap single ‘I Love You I Miss You’ yang ditukar lirik kepada versi raya.

"Idea ini datang secara spontan memandangkan lagu ini popular dan disukai ramai.

"Saya sebenarnya hanya nak 'uji pasaran' apabila menukar lirik lagu ini kepada edisi raya sempena Aidilfitri dan meletakkan judul I Love You I Miss You Raya.

"Tak sangka peminat menyambut baik lagu ini dan muzik videonya mendapat hampir sejuta tontonan sejak dimuat naik di YouTube tiga minggu lalu," katanya.

Amy atau nama sebenarnya Azmi Hassan turut melahirkan rasa terkejut kerana peminat masih memberi sokongan terhadap lagu raya edisi baharu biarpun Aidilfitri begitu sinonim dengan lagu raya klasik.

"Peminat terutama kalangan generasi baharu mempunyai cita rasa yang berbeza daripada generasi terdahulu.

"Apapun selera masing-masing berbeza dan saya akui lagu raya klasik tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Kata orang tiada yang lama tiadalah yang baharu, tapi apa salahnya kita sama-sama sambut baik lagu raya baharu bagi menambah koleksi lagu raya sedia ada," katanya.

Menurutnya, lagu I Love You I Miss You Raya dinyanyikan oleh penyanyi undangan Ukays, Acik Roslan.

Sementara itu, Amy melahirkan kesyukuran kerana menerima penghargaan daripada Rusa Music terhadap kejayaan lagu I Love You I Miss You.

"Alhamdulillah, saya dianugerahkan plak perak atas kejayaan Ukays mendapat tontonan melebihi 10 juta di YouTube.

"Jumlah keseluruhan tontonan setakat ini ialah 20 juta dan saya percaya angka ini bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Lagu nyanyian Ady, bekas penyanyi undangan Ukays itu mula mendapat perhatian ramai apabila dua pemain bola sepak skuad Piala Suzuki AFF negara, Akhyar Rashid dan Farizal Marlias membantu mempopularkannya kepada peminat.

Akhyar yang juga pemain sayap sensasi dan Farizal (penjaga gol) skuad Harimau Malaya kerap menyanyikan lagu itu ketika menyertai skuad kebangsaan ketika perlawanan Piala Suzuki AFF yang berlangsung pada Disember lalu.

Mereka turut memuat naik rakaman ke laman sosial menyebabkan lagu itu tular dan jumlah pendengar meningkat.

Rakaman dimuat naik menunjukkan mereka menyanyi dalam bas, bilik latihan dan dalam kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 3:54 PM