AZIZ M Osman. FOTO arkib NSTP
AZIZ M Osman. FOTO arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


“SAYA pernah ajukan idea penayangan semula filem XXRay dan XXRay 2 kepada penerbit asal yakni Grand Brilliance (GB) tahun lalu dan masih menunggu maklum balas mereka sehingga ke hari ini,” kata pengarah XXRay 3, Aziz M Osman.

Aziz yang juga pengarah XXRay tahun 1992 dan XXRay (1995) berkata, selepas selesai perbincangan dengan mereka, idea itu didakwa akan diusulkan kepada pihak tertentu.

Cadangan itu adalah susulan ramai peminat filem itu mengemukakan idea serta komen di laman sosial agar ia ditayangkan semula bersempena penayangan filem terbaru, XXRay 3 pada 24 Januari depan.

"Sebenarnya, saya sudahpun mengambil kira penonton yang tidak pernah menonton atau tidak tahu mengenai dua filem sebelum ini.

"Nak diikutkan olahan cerita tidak memerlukan mereka menonton terlebih dulu kedua filem itu sebelum menonton XXRay 3," katanya.

Aziz mencadangkan bagi mereka yang ingin tahu, boleh saja mencari filem itu di saluran YouTube atau laman Web yang masih menayangkannya.

Filem XXRay 3 bakal ditayangkan pada 24 Januari depan dibintangi Izzue Islam, Ardell Aryana, Adam John, Ashraf Muslim, Dazrin Kamarudin, Dato Jalaludin Hassan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:25 PM