SHIHA Zikir. FOTO Zulfadhli Zulkifli
SHIHA Zikir. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Shiha Zikir meluahkan rasa bangga apabila single dangdut pertamanya, PIPIYAMA (Pilih Pilih Yang Mana) dipilih untuk dipersembahkan secara eksklusif menerusi program Dangdut Academy Asia 4 di saluran televisyen Indonesia, Indosiar pada Ahad lalu.

Shiha, 31, atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir berkata, buat masa sekarang dia memberi fokus untuk pasaran Indonesia supaya namanya lebih mudah diterima di sana selain membawa nama Malaysia ke pasaran muzik Indonesia.

"Saya pilih lagu dangdut sebab senang nak dekatkan diri dengan penonton dan boleh menari dengan mereka. Kalau sebelum ini saya banyak lagu balada saja, jadi ia lebih serius.

"Insya-Allah, sekiranya lagu ini mendapat permintaan dan maklum balas baik peminat di sini, saya akan ketengahkan lagu ini. Cuma, fokus saya sekarang adalah pasaran Indonesia. Lagi pula penyokong saya di sana sudah lama menantikan single dangdut daripada saya.

"Dalam masa sama, saya berasakan genre ini paling sesuai untuk saya lebih mendekati peminat di sana apatah lagi pernah terbabit dalam program Dangdut Academy Asia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shiha, dia yakin lagu ciptaan Atra Petrana itu boleh diterima baik peminat muzik tempatan berdasarkan sambutan diberikan terhadap beberapa lagu dangdut seperti Lagi Syantik (Siti Badriah), Sakitnya Tuh Di Sini (Cita Citata), Perawan Atau Janda dan banyak lagi.

"Sebelum ini ada banyak lagu dangdut Indonesia diterima baik peminat di sini. Jadi, apabila lagu ini dilancarkan, saya yakin peminat Malaysia pun boleh terima.

"Kalau kebetulan ada persembahan di sini, saya cuba untuk selitkan lagu ini bagi diperdengarkan kepada penonton. Dari situ, secara perlahan-lahan mereka boleh terima.

"Walaupun tak dinafikan masih ada segelintir peminat yang sukar menerima genre dangdut, tapi saya percaya kalau lagu itu mesra telinga ia akan diterima baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 3:31 PM