SCHA
SCHA
Sudirman Mohd Tahir

Pasangan popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya ambil dasar terbuka sekiranya syarikat D’Haja ingin menyelesaikan masalah antara mereka di luar mahkamah.

Scha, 35, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan peguam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya dan Awal sentiasa terbuka sekiranya pihak mereka mahu menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah tanpa melalui proses perundangan.

“Ini kerana kami kenal satu sama lain dan mereka juga nama besar dalam bidang perniagaan.

“Mereka ada bertanya mengenai perkara itu tapi apa-apa pun kami kena berbincang dengan peguam terlebih dahulu,” katanya.

Scha berkata sedemikian ketika ditanya mengenai tuntutan berjumlah RM345,305 yang dibuat terhadap syarikat terbabit yang didakwa melanggar perjanjian pengedaran minyak wangi eksklusif mereka iaitu Blue dan Maroon.

Menurut Scha, dia dan suaminya mengambil tindakan itu kerana pelanggaran kontrak yang dilakukan pihak terbabit sejak dua tahun lalu.

Tuntutan itu juga bagi meminta semula hak mereka tanpa perlu membayar ganti rugi yang tidak sepatutnya.

“Memang saya dan Awal membuat tuntutan ganti rugi disebabkan mereka tidak mengikut terma kontrak dipersetujui kedua-dua pihak.

“Saya dan suami terpaksa ambil tindakan sebab perkara ini sudah terjadi dua tahun. Jadi, kami terpaksa bawa ia ke mahkamah.

“Tapi tuntutan yang dibuat membabitkan hak kami saja. Apa yang perlu mereka bayar, tak ada ganti rugi yang tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha sekali lagi dipilih menjadi pengacara program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019.

Scha yang pernah menjuarai Dewi Remaja 2005 berkata, program itu adalah platform untuk menyerlahkan bakat.

“Program ini adalah landasan yang tepat untuk mengembangkan bakat. Namun, kalau mereka ingin bergelar Dewi Remaja, kecantikan saja tidak memadai.

“Setiap peserta kena ada rupa, tetapi apa lagi yang boleh anda tawarkan kepada semua orang di luar sana? Adakah bersandarkan rupa paras semata-mata? Ia kena lebih daripada itu.

“Paling penting, mereka kena menjadi diri sendiri selain harus menyerlahkan bakat yang ada. Penampilan saja tidak mencukupi, mereka harus tahu mengawal diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.

Scha juga mahu finalis program itu boleh menjadi inspirasi buat remaja lain.

“Saya berharap edisi kali ini dapat menghasilkan finalis yang boleh dibanggakan. Apa yang penting, mereka harus menjadi inspirasi kepada generasi baharu.

“Seiring dengan kepesatan media sosial, banyak cabaran yang perlu dihadapi dan mereka harus menunjukkan contoh yang baik kepada remaja lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 9:01 AM