SCHA minta Dewi Remaja tahu macam mana nak selesaikan masalah dan bukannya lari. FOTO Mahzir Mat Isa
SCHA minta Dewi Remaja tahu macam mana nak selesaikan masalah dan bukannya lari. FOTO Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Scha Alyahya berharap finalis pencarian Dewi Remaja 2019/2020 yang bakal diumumkan Selasa depan mempunyai kebijaksanaan dari segi mental dan emosi.

Scha, 36, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata, setiap peserta perlu bijak dalam mendepani masalah atau kontroversi yang melanda.

“Bagi saya, seorang dewi perlu bijak dari segi mental dan emosi selain IQ dan EQ seiring. Zaman saya dulu, perkara sama saya jawab. Pendek kata, kebijaksanaan kena ada.

“Kontroversi takkan lari daripada hidup selebriti. Jadi, mereka kena rancang macam mana nak cakap, buat dan pasarkan diri sendiri.

“Ini kerana menjadi dewi adalah contoh pada orang ramai. Jadi, mereka kena bijak dari segi semua. Kalau setakat bijak IQ ada ramai,” katanya kepada Harian Metro.

Scha yang juga juara Dewi Remaja 2005/2006 berkata, menjadi dewi tidak boleh lari daripada masalah.

“Sekarang ini mereka lebih terdedah kepada sosial media. Cabaran lebih besar. Jadi, perlu bijak macam mana nak kawal.

“Orang kita pula suka meletakkan dan memandang dewi ini penuh kesempurnaan. Disebabkan itu, kalau buat salah kena tahu macam mana nak selesaikan dan bukannya lari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:31 PM