Salah satu babak pergaduhan dalam filem Hero. FOTO Ihsan Mark Adam
Salah satu babak pergaduhan dalam filem Hero. FOTO Ihsan Mark Adam
Adam (dua kiri) serius menjalani latihan bersama anggota bomba. FOTO Ihsan Mark Adam
Adam (dua kiri) serius menjalani latihan bersama anggota bomba. FOTO Ihsan Mark Adam
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Mark Adam, 39, mengakui, pengalaman selama seminggu menjalani latihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) baru-baru ini adalah pengalaman berharga dan penuh cabaran.

Adam (dua kiri) jalani latihan sebagai persiapan untuk penggambaran filem Hero. FOTO Ihsan Mark Adam
Adam (dua kiri) jalani latihan sebagai persiapan untuk penggambaran filem Hero. FOTO Ihsan Mark Adam

Latihan itu adalah sebagai persiapan sebelum melangkah ke set filem terbaru lakonannya, Hero yang memulakan penggambaran sejak seminggu lalu.

“Ini adalah pengalaman berharga dan sangat mencabar buat diri saya sepanjang menjadi pelakon.

“Latihan selama seminggu bersama Bomba memang sangat mencabar kerana kami (semua pelakon) melakukan latihan sebenar dengan bantuan pegawai-pegawai Bomba,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mark atau nama sebenarnya Mark Adam Fikri Abdullah, semua aksi dilakukan sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.

“Dalam seminggu pertama, ada satu babak pergaduhan dan saya lakukan sendiri. Selepas ini, akan ada lagi beberapa babak aksi.

“Pernah ketika sesi latihan yang memerlukan saya memanjat tali, saya sendiri pun tak sedar berlaku kecederaan. Bila balik ke rumah, baru saya perasan tapak kaki saya melecet dan berdarah,” katanya.

Selain itu, dia juga meluahkan rasa kagumnya kepada pegawai-pegawai Bomba yang menjalankan tugas untuk masyarakat.

“Bila dapat peluang untuk berada dalam kalangan mereka, barulah saya tahu bahawa tugasan mereka bukanlah semudah yang disangka.

“Mereka perlu sentiasa peka dan dalam sehari, akan ada beberapa panggilan yang memerlukan mereka bergegas untuk memberikan bantuan,” katanya.

Selain Mark yang memegang peranan sebagai Adam Filipina Lee, filem Hero arahan Azizi Chunk Adnan itu juga membariskan beberapa pelakon lain antaranya Bell Ngasri, Elisha Sandha, Jihan Muse, Amir Raja Lawak dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:16 PM