Da'i Hakim (tengah) yang menjuarai  Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima bersama pemenang kedua Da'i Afiqah (kanan) dan Da'i Fahmi (ketiga) di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam, malam tadi. - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Da'i Hakim (tengah) yang menjuarai Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima bersama pemenang kedua Da'i Afiqah (kanan) dan Da'i Fahmi (ketiga) di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam, malam tadi. - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Syafil Syazwan Jefri


DA'I Hakim muncul juara program Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima di pentas akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan Hakim atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hakim Othman, 22, membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi dan pakej umrah untuk dua orang.

Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da'i Afiqah (Nur Afiqah Mahmud) dan Da'i Fahmi (Muhammad Fahmi Zulkifly) di tempat kedua dan ketiga.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi di samping pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Da'i Aiman yang mengakhiri perjalanannya ke peringkat separuh akhir pada minggu sebelumnya dipilih sebagai Da'i Pilihan Almas dan berjaya membawa pulang pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Da'i Pendakwah Nusantara musim ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid, manakala Murabbi pula terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah.

Juri tetap pentas akhir terdiri daripada Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Sistem penjurian masih mengekalkan konsep sama iaitu 70 peratus daripada juri tetap, 20 peratus daripada Murabbi dan 10 peratus lagi daripada juri awam.

Program ini dihoskan Datuk Rosyam Nor bersama Zainal Ariffin Ismail.

Da'i musim kelima ini dibawakan secara eksklusif oleh produk Almas Beauty & Health Sdn Bhd selaku penaja utama dan Siti Khadijah selaku penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 11:54 PM