DARI kiri Ally, Fariha, Fedtri, Anim dan Hanif rai Aidilfitri ikut kehendak dan cita rasa sendiri.
DARI kiri Ally, Fariha, Fedtri, Anim dan Hanif rai Aidilfitri ikut kehendak dan cita rasa sendiri.
Ridzuan Abdul Rahman


Kebiasaannya penyampai Malaysia Hari Ini (MHI) terpaksa mengorbankan keseronokan meraikan hari pertama Aidilfitri kerana perlu bersiaran secara langsung untuk penonton.

Ada juga yang terpaksa melupakan kemeriahan beraya di desa bersama keluarga tercinta kerana tuntutan tugas yang tidak boleh ditinggalkan.

Bagaimanapun, ada kelainan tahun ini apabila Ally Iskandar, Fariha Onn, Fedtri Yahya, Hanif Miswan dan Anim Ezati Rizki diberikan pelepasan bercuti bagi meraikan Aidilfitri mengikut kehendak dan cita rasa sendiri.

Slot Jumaat hingga Ahad lalu di TV3 diisi program Borak Kopitiam, sekali gus membolehkan unit produksi MHI berehat sebelum kembali bertugas.

Ally rasa kekok bercuti

Sebagai orang lama di MHI, Ally memang seorang yang kuat bekerja dan tidak kisah sekiranya diminta bekerja ketika Aidilfitri.

“Dah biasa bekerja, saya jadi kekok apabila diberi cuti. Dulu selepas bertugas, saya akan terus pulang ke kampung di Terengganu.

“Apabila ayah sudah tiada, emak diajak tinggal dengan saya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Tahun ini adik-beradik lain semuanya beraya dengan keluarga mentua. Jadi saya hanya beraya berdua dengan emak,” katanya.

Menurutnya, beraya di kampung mempunyai elemen nostalgia. Namun, usianya sekarang dianggap terlalu lewat untuk mencari kemeriahan beraya di ibu kota.

“Aidilfitri lalu saya habiskan masa dengan berehat secukupnya sebelum kembali bekerja,” katanya.

Otak Fariha ligat berfikir ketika Aidilfitri

Sebelum ini Fariha terbabit sebagai pengacara Majalah Tiga dan penyampai MHI.

Sekarang dia terbabit sepenuhnya sebagai penyampai dan penerbit MHI.

“MHI adalah program yang mencabar kerana selesai satu episod, saya kena fikir kandungan untuk hari berikutnya pula.

“Saya dan anak, Nurfa El Falah, 6, pulang beraya di Batu Pahat, Johor. Seronoknya beraya di kampung kerana kami berkumpul di rumah Mak Tok. Ia dianggap rumah induk di mana semua datang berkumpul.

“Ini sesuatu yang menggembirakan kerana saya jarang dapat peluang bercuti ketika Aidilfitri,” katanya.

Fariha berkata, walaupun bercuti fikirannya ­masih memikirkan ­mengenai kerja.

“Saya terbabit dengan MHI sejak 2012. Dulu ada yang anggap MHI mudah, tapi sebenarnya sangat susah berbanding program lain,” katanya.

Fedtri kali pertama memandu ke Kelantan

Fedtri juga antara orang lama dan sudah 13 tahun bersama MHI. Ketika bujang dia tidak kisah bekerja pada pagi Aidilfitri dan selepas bertugas akan pulang ke kampungnya di Pantai Remis, Perak.

“Biasalah tenaga muda, selepas ‘on air’ saya terus memandu jam 9 pagi dan tiba di kampung kira-kira jam 1 tengah hari.

“Sempat berehat sekejap, saya kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur jam 5 petang kerana akan terbabit dengan MHI esoknya.

“Sekarang emak sudah tiada dan suasananya dirasakan kurang berseri. Dulu saya sanggup buat apa saja demi emak,” katanya.

Fedtri yang mem­punyai tiga anak berusia enam, empat dan setahun memilih pulang beraya di Pasir Mas, Kelantan iaitu kampung isterinya.

“Sepanjang tujuh tahun saya tak pernah memandu balik ke sana dan pilih naik kapal terbang. Tapi apabila anak ramai, kos semakin bertambah dan saya buat keputusan untuk memandu.

“Lagipun, naik kapal terbang memang agak kelam-kabut. Dulu kita pernah berdepan masalah jerebu sehingga buatkan penerbangan ditunda.

“Isteri saya yang mengandung ketika itu akhirnya mengalami keguguran kerana berebut-rebut untuk naik ke pesawat,” katanya.

Hanif bersyukur dapat beraya dengan isteri dan anak

Hanif bersama keluarga menyambut Aidilfitri di Meru dan Pandamaran, Klang. Ini tahun keduanya bersama MHI dan sudah melalui pengalaman beraya sebagai selebriti.

“Suasananya memang lain kerana saya jadi modal untuk saudara-mara datang melawat. Boleh dikatakan saya menjadi medium pengerat ikatan saudara,” katanya.

Hanif bersyukur kerana dapat meraikan Aidilfitri bersama isteri tercinta dan anak sulungnya, Aduka Andre yang berusia empat bulan.

“Anak saya lahir pramatang dan pernah ditahan di Neonatal Intensive Care Unit (NICU) selama dua bulan. Syukur keadaannya semakin stabil dan 7 Jun ini genap usia lima bulan.

“Kami sentiasa berhati-hati ketika Aidilfitri kerana doktor pesan anak kami tak boleh dicium sebarangan.

Mungkin nampak kurang ajar, tapi kami kena beritahu perkara ini kepada tetamu yang datang,” katanya.

Anim masuk dapur

Gadis cantik ini menyertai MHI pada April tahun lalu. Peluang bercuti dimanfaatkan dengan pulang beraya ke rumah keluarga­nya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Memang seronok beraya bersama keluarga. Ketika bekerja sebagai pramugari pun susah nak cuti. Memang sangat gembira dapat bercuti lima hari.

“Saya mempunyai empat adik-beradik satu bapa berlainan ibu. Tapi, sekarang saya tinggal dengan ibu tiri yang sangat baik. Ketika ibu kandung dan bapa masih hidup pun, ibu tiri tinggal sebumbung,” katanya.

Menurutnya, dulu Bandar Baru Uda dikenali sebagai Taman Skudai Kanan. Apabila ditukar kepada Bandar Baru Uda, semua saudara-maranya ditempatkan di kawasan berdekatan.

“Dari pagi hingga jam tiga petang saya beraya di situ bagi menghabiskan kunjungan ke rumah saudara-mara.

“Apabila berjumpa, ada saja yang tanya gosip artis, minta sampaikan salam dan macam-macam lagi.

“Apabila di kampung dan di rumah, saya bukan lagi selebriti dan jadi orang biasa. Ikut giliran, tahun ini saya kena masuk dapur untuk memasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:45 PM