Ally Iskandar. FOTO Mustaffa Kamal
Ally Iskandar. FOTO Mustaffa Kamal
Ridzuan Abdul Rahman


MESKIPUN pernah mengalami kegagalan rumah tangga, personaliti TV3, Ally Iskandar, 42, mengakui tidak serik untuk berkahwin lagi sekiranya bertemu jodoh.

“Ya ...impian untuk kembali berkeluarga memang ada. Saya tidak boleh kata saya tidak cuba kerana saya pernah merasai nikmat berkeluarga, ada mentua dan itu antara perkara yang ingin saya lihat dalam hidup saya.

“Kenangan tetap akan ada, tetapi kena faham sekarang saya berada di mana. Kalau terlalu nak nostalgia pun bukan satu perkara yang sihat buat saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ally pernah berkahwin dengan Nurfarahin Romli, 29, pada 20 Januari 2012 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Maream Esabel, kini berusia lebih tiga tahun.

Bagaimanapun selepas lima tahun melayari hidup sebagai suami isteri, mereka bercerai pada 17 Ogos 2016.

Ally sinonim dengan program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 menjelaskan sudah ‘move on’ dengan apa yang berlalu. Paling melegakan ibunya juga memahami keadaannya.

“Emak memahami keadaan saya dan pada masa sama berharap saya ada pengganti. Malah semua orang berharap begitu.

“Secara jujurnya, emak ada juga mencuba carikan jodoh saya tetapi pada usia begini, emak bagi kebebasan buat saya cari jodoh sendiri. Dia pun tidak bagi tempoh tertentu.

“Cuma apabila tengok anaknya bersendirian, emak mana yang tidak runsing. Dia tengok dunia saya hanya pergi kerja, balik kerja dan sesekali akan bertanyakan perkara itu,” katanya.

Ally bagaimanapun tidak terlalu berharap dan menyerahkan persoalan jodoh kepada ketentuan Allah.

“Kalau bersungguh-sungguh cari pun tetapi Allah kata tiada, memang tiada. Kadang tidak cari pun jodoh datang juga.

“Saya merendah diri anggap tiada wanita yang berminat dengan saya. Umur pun sudah begini. Malah saya tidak pernah anggap diri saya sebagai selebriti.

“Lagipun status selebriti yang disandang itu bukan sesuatu yang dipandang oleh saya,” katanya.

Ally menambah, dia begitu mengimpikan kehidupan yang ideal, namun berdepan kesukaran untuk mencari wanita yang memahami kariernya.

“Nak mencari yang memahami bidang kerja saya itu adalah sesuatu yang mencabar. Dia perlu faham orang yang saya jumpa dalam kelompok bidang kerja saya.

“Saya pun tak letak sebarang tanggapan untuk memperjelaskan kepada masyarakat. Maksudnya, dia tahu kerja saya dan kalau dia boleh terima semua ini, saya amat bersyukur,” katanya.

Ally berkata, anak dan emak adalah sumber kekuatannya sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 7:09 PM