NAZLI (kanan) memeriksa perjalanan bas pada Hari Raya. FOTO Fathil Asri.
NAZLI (kanan) memeriksa perjalanan bas pada Hari Raya. FOTO Fathil Asri.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Di saat orang ramai bercuti dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara, namun masih ada segelintir yang terpaksa bekerja hari ini.

Ia semuanya demi tugas atau tanggungjawab yang digalas demi mencari rezeki.

Bagi pemandu bas Rapid KL, Samsuddin Waja, 38, berkata, dia sudah biasa bertugas sewaktu orang ramai menyambut hari raya.

"Saya ok saja bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri sebab sudah biasa dan ia adalah tanggungjawab saya.

"Ini juga tanggungjawab yang berat kerana saya membawa penumpang ke destinasi masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Dia yang berasal dari Kedah berkata, pada kebiasaannya pemandu bas sepertinya akan bergilir-gilir setiap tahun dengan rakan yang lain untuk berhari raya.

"Kami semua akan berselang-seli beraya. Contohnya macam tahun lepas saya dapat cuti hari raya, tetapi tahun ini akan kerja seperti hari ini," katanya yang sudah lima tahun bekerja sebagai pemandu bas.

Penyelaras trafik bas Rapid KL, Nazli Ghani, 53, turut sependapat sambil menyatakan sudah biasa bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri.

"Saya sudah biasa berkerja semasa hari raya.

"Tapi perasaan sedih itu sebenarnya ada juga kerana tak dapat pulang beraya beraya di Kelantan," katanya.

Nazli yang sudah bekerja sembilan tahun sebagai penyelaras trafik berkata, tugasnya adalah bagi memastikan perjalanan bas mengikut masa yang ditetapkan.

Bagi pegawai penyelia di sebuah syarikat keselamatan, Sita Dewi Kencana Zulkifli, 58, dia berasa seronok bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Katanya, ini disebabkan suami dan anak-anaknya akan mengunjungi tempat kerjanya kerana mereka akan mengadakan jamuan secara kecil-kecilan bagi menyambut hari raya.

"Selain itu, semua kakitangan saya tidak ada yang bercuti. Kalau ada pun yang bercuti, hanya seorang dua saja.

"Yang lain semuanya bertugas. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan petugas sekuriti ini bertugas sewaktu Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Kata Sita Dewi, dia juga sudah lima tahun tidak beraya semasa Hari Raya Aidilfitri.

"Selalunya saya akan bercuti selepas hari raya dan kami sekeluarga merancang untuk pergi ke Pantai Teluk Senangin, Perak nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 3:32 PM