DARI kiri, Elvira, Azee, AJ dan Alina berjaya ke minggu akhir.
DARI kiri, Elvira, Azee, AJ dan Alina berjaya ke minggu akhir.
Syafil Syazwan Jefri

Awalnya hanya tiga tiket saja diperuntukkan kepada protege yang bertanding dalam program realiti Mentor Otai untuk mara ke pentas akhir, namun juri tetap Edry Abdul Halim dan Mark Adam memberikan kejutan apabila membuka satu lagi peluang menjadikan empat peserta layak ke acara kemuncak.

Mereka yang layak ialah Elvira, Azee, AJ dan kemudian disertai Alina manakala Lokman terpaksa menamatkan perjuangannya.

Menurut Edry, ketika mengumumkan keputusan itu pihaknya berasakan Alina mempunyai kekuatan tersendiri dan layak beraksi di pentas akhir.

“Kami (Edry dan Mark) menilai mereka sejak awal dan membuat keputusan membawa Alina ke peringkat akhir.

“Walaupun persembahannya pada malam ini tidak memuaskan, terdapat beberapa faktor lain yang dilihat ada padanya,” katanya.

ALINA
ALINA

Bagi Mark pula, di kertas pemarkahannya, tertera markah Alina dan Lokman yang setara namun memilih Alina kerana beberapa alasan.

“Persembahan Alina tidaklah sempurna pada malam ini, tetapi dari sudut vokal, ia masih enak didengar.

“Lokman pula pada saya lebih statik sejak konsert minggu pertama Mentor Otai berlangsung. Jadi, untuk saya, Alina lebih layak ke peringkat akhir,” katanya.

Alina ketika ditemui kecewa dengan persembahannya yang banyak kelemahan ketika menyampaikan lagu solo Sembilu dan duet bersama mentornya, Siti Sarah menerusi lagu I Have Nothing.

“Saya tahu, banyak kesilapan dilakukan pada persembahan malam ini kerana gagal mengawal rasa gugup.

“Selain kecewa dengan persembahan sendiri, saya juga sedih kerana mengecewakan mentor yang banyak memberi peluang dan mencurahkan idea kepada saya untuk persembahan,” katanya.

PROTEGE Zarul Husin, Azee menyanyikan lagu 'Ku Ke Udara Lagi' ketika membuat persembahan solo.
PROTEGE Zarul Husin, Azee menyanyikan lagu 'Ku Ke Udara Lagi' ketika membuat persembahan solo.

Alina atau nama sebenarnya Alina Hassan berharap mentornya tidak berputus asa untuk meneruskan usaha ke peringkat akhir.

“Saya sentiasa berharap agar selepas apa yang berlaku, ia tidak mematahkan semangat Sarah untuk terus membimbing saya,” katanya.

AJ atau nama sebenarnya Kamarol Azril Al’azemi yang sentiasa tenang ketika beraksi di atas pentas berkata dia punya tip tersendiri.

“Saya sentiasa berfikir ia adalah persembahan pentas dan tugas saya adalah menghiburkan penonton.

“Tapi, tentunya kalau dah namanya pertandingan, rasa gemuruh tetap ada,” katanya.

Selain AJ yang muncul dengan lagu Tiada Lagi Kidungmu dan lagu duet Malam bersama mentornya, Tam Spider, pentas akhir juga akan menyaksikan dua protege lain iaitu Elvira dan Azee beraksi.

MISHA bersama protegenya, Elvira menyanyikan lagu 'Fantasia Bulan Madu' ketika membuat persembahan duet.
MISHA bersama protegenya, Elvira menyanyikan lagu 'Fantasia Bulan Madu' ketika membuat persembahan duet.

Elvira atau nama sebenarnya Elvira Carrie Olga Arul muncul menyampaikan lagu solo Matahari dan Fantasia Bulan Madu duet bersama mentornya, Misha Omar.

Azee atau nama sebenarnya Aznie Ariffin pula menyampaikan lagu Ku Ke Udara Lagi dan Seiring dan Sejalan duet bersama mentornya, Zarul Husin.

Protege yang terpaksa menamatkan perjalanan mereka dalam program Mentor Otai adalah Lokman yang juga protege kepada Zarul Husin.

Semua protege diadili dengan format pemarkahan 50 peratus daripada juri tetap, 20 peratus (juri awam) dan 30 peratus adalah undian secara online.

Pentas akhir Mentor Otai yang bersiaran secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 29 April ini diacarakan oleh Haziq Hussni dan Elly Mazlein.

PROTEGE Zarul Husin, Lokman (tiga kiri) tersingkir pada minggu separuh akhir .
PROTEGE Zarul Husin, Lokman (tiga kiri) tersingkir pada minggu separuh akhir .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:22 AM