ANZALNA.
ANZALNA.
Najiy Jefri

Lebih dua tahun mendirikan rumah tangga dengan Hanif Zaki, aktres Anzalna Nasir mengakui banyak menghabiskan masa di rumah dan memperlahankan karier lakonan.

Kata Anzalna, jika tahun lalu dia terbabit dengan penggambaran 100 episod, kali ini dia perlu lebih memilih.

“Tahun lalu, saya membintangi drama Dendam Aurora yang bersiaran di Astro Prima.

“Jadi pada tahun ini, saya cenderung untuk menerima tawaran menjayakan telefilem kerana penggambaran tidak ambil masa lama.

“Buat masa ini, saya banyak berehat dan menghabiskan masa di rumah,”katanya.

Kata Anzalna, dia nekad berehat seketika kerana merancang mahu hamil tahun ini.

“Doakan yang baik-baik agar saya dan suami dikurniakan cahaya mata.

“Sebenarnya tahun lalu saya sudah bersedia untuk jadi ibu tetapi belum ada rezeki. Jadi, kali ini saya mahu berehat dan bercuti bersama suami,” katanya.

Tiada angin tiada ribut tiba-tiba timbul khabar angin mengatakan pelakon ini berbadan dua.

Anzalna ketika ditemui di butik Tous berkata, dia masih menantikan detik terindah itu.

“Gara-gara berat badan naik, ramai orang ingat saya hamil.

“Macam mana badan tak naik kalau hati gembira dan banyak berehat di rumah?,” katanya seraya ketawa.

Menurut Anzalna, meskipun ada yang salah anggap, dia tidak kecil hati sebaliknya bersyukur kerana ramai ternanti-nanti dia melahirkan zuriat.

“Syukur, ramai mendoakan saya cepat hamil dan bergelar ibu. Tiada istilah kecil hati atau marah apabila ada yang sebar cerita kononnya saya hamil.

“Mohon teruskan berdoa supaya impian saya berbadan dua tahun ini tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, Anzalna memberitahu dia kini mempunyai hobi baru iaitu menanam bunga di halaman rumahnya.

“Saya kini suka membeli dan menanam pokok bunga. Saya suka pokok mawar tetapi ia tak bertahan lama kerana faktor cuaca.

“Setakat ini saya tanam bunga di balkoni, tepi kolam renang dan tempat beristirahat di luar rumah.

“Alhamdulillah, suami suka dengan hobi baru saya ini. Lagipun, hati jadi lebih tenang setiap kali melihat bunga mekar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 12:22 AM