DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung mereka, Siti Aafiyah. FOTO Ihsan Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd
DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung mereka, Siti Aafiyah. FOTO Ihsan Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mahu terlalu mendedahkan anak perempuannya, Siti Aafiyah dalam dunia selebriti.

Siti, 39, berkata dia inginkan Aafiyah membesar sebagai kanak-kanak biasa dan mengikut aturan ditetapkan.

“Saya tidak boleh lari daripada hakikat yang mana Aafiyah dilahirkan sebagai anak penyanyi. Sedikit sebanyak dia pasti terkena tempias dunia selebriti. Namun, saya dan suami inginkan anak membesar seperti kanak-kanak biasa.

“Sekiranya anak ada rezeki mendapat tawaran daripada mana-mana pihak, saya serahkan keputusan kepada suami. Sekarang ini, apa sahaja berkaitan anak memang saya dan suami kena berbincang dahulu. Kalau suami kata tidak perlu, saya ikut.

“Sebagai contoh, majlis tahnik dan aqiqah ini kami tidak mahu jadikan ia acara eksklusif untuk mana-mana pihak. Kami cuma ambil masa tujuh hari selepas kelahiran mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Harian Metro.

Siti juga menegaskan buat masa sekarang wajah dan apa sahaja membabitkan anaknya akan dikongsikan di laman Instagram (IG) miliknya.

Menurut Siti, dia belum terfikir untuk mewujudkan akaun Instagram Siti Aafiyah.

“Sebelum ini sudah banyak akaun IG palsu menggunakan pelbagai nama bagi mewakili anak saya. Untuk IG rasmi, saya tidak terfikir lagi. Lagi pula, saya ingin dia membesar seperti orang biasa.

“Jadi, dalam perkara ini peminat saya faham. Apa saja perkara yang saya umumkan barulah ia sahih. Kalau ada pun nanti, ia daripada saya sendiri,” katanya.

Terdahulu, Siti dan suami menunaikan janji dengan berkongsi wajah anak perempuan mereka menerusi rakaman video berdurasi 57 saat pada petang tadi iaitu genap tujuh hari kelahiran.

Diikuti pengumuman nama sebenar anak mereka selepas majlis tahnik dan aqiqah yang diadakan di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.

Selama seminggu pasangan itu menggunakan nama sementara Fatimah Az-Zahra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:25 AM