BERSAMA peminat yang hadir pada malam gala Pinjamkan Hatiku.
BERSAMA peminat yang hadir pada malam gala Pinjamkan Hatiku.
Ayda Jebat

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.

Apa khabar? Adik harap semuanya berada dalam keadaan sihat. Kalau tak sihat, cepat-cepat pergi jumpa doktor, okey? Bukan doktor cinta, tau! Hehe.

Pejam celik pejam celik, kita kini berada pada pertengahan Disember. Ini bermakna, kita akan menjengah tirai tahun 2018 tidak lama lagi. Sudah ada azam baru ke belum?

Atau azam lama masih tak sempat tertunai lagi? Apapun azam anda semua, Adik harap ia akan dicapai dengan jayanya kelak, insya-Allah.

Bercakap pasal Disember, pasti ramai antara kita yang akan mula berbicara mengenai perancangan cuti hujung tahun, lebih-lebih lagi sekarang ini juga musim cuti sekolah.

Sudah pasti ada yang mahu bercuti ke luar negara untuk meluangkan masa bersama keluarga. Selain mereka yang merancang untuk bercuti ke luar negara, ada juga Adik dengar yang mahu memilih destinasi percutian dalam negara saja.

Apapun, seronok betul apabila melihat kegembiraan anak kecil menghabiskan masa bersama keluarga mereka.

Kini, Adik ‘buka’ saja telefon bimbit terus nampak wajah-wajah ceria dalam pelbagai aksi mengisi ruang media sosial. Bagi Adik, inilah erti kata sebenar kualiti percutian keluarga.

Namun, ada juga yang tidak berkesempatan untuk pergi bercuti kerana hotel dan tempat penginapan sudah habis ditempah. Maklumlah, percutian perlu dirancang beberapa bulan lebih awal.

Jadi, kalau lewat merancang, sukarlah untuk mencari tempat penginapan sesuai. Oleh itu, jangan lupa pesanan Adik ni, ya. Lain kali, sediakan payung sebelum hujan! Tempah awal, insya-Allah dapat.

Walaupun tak dapat pergi bercuti, ia tidak bermakna musim cuti anak-anak boleh dibiarkan begitu saja. Pada Adik, ada banyak aktiviti cuti hujung mingu yang boleh dirancang ibu bapa.

Antaranya, mungkin ibu bapa boleh menemani anak mereka melakukan aktiviti riadah seperti ‘jungle trekking’, berkhemah di kawasan air terjun dan bersukan bersama-sama seperti ‘paintball’ atau ‘rock climbing’. Adik yakin banyak aktiviti lain boleh dilakukan dan pilih yang sesuai.

Bagi yang tidak suka aktiviti lasak, mereka boleh merancang program santai bersama keluarga seperti mengikuti kelas memasak atau membuat kek. Semestinya, aktiviti sebegini sangat menyeronokkan dan paling utama dapat beri manfaat kepada anak dan ibu bapa.

Selain itu, kepada adik-adik yang kini bercuti boleh juga menonton televisyen kerana banyak program menarik disediakan. Namun, Adik tetap mahu mencadangkan supaya stesen TV dapat menerbitkan lebih banyak kandungan berbentuk ilmiah untuk membantu perkembangan intelektual kanak-kanak atau remaja.

Adik masih ingat lagi waktu kecil dulu, program ilmiah kanak-kanak iaitu Along yang disiarkan RTM pernah mencetus fenomena. Bukan saja penonton kanak-kanak, golongan dewasa juga terikut-ikut gaya bacaan Siti Sifir yang mampu menghafal sifir matematik dengan cepat dan mudah.

Jika kandungan ilmiah diperbanyakkan, Adik yakin stesen TV tidak lagi dipandang serong oleh segelintir masyarakat yang menganggap ia sebagai platform hiburan semata-mata.

Sogoklah adik-adik yang kini bercuti dengan program yang menarik dan ada isinya.

Akhir sekali, nak pesan juga jika anda dan anak masih ada masa terluang, apa kata berkunjung ke pawagam berdekatan untuk menonton filem pertama lakonan Adik, Pinjamkan Hatiku. Ia bukan sekadar naskhah yang digarap bertemakan percintaan, juga boleh ditonton seisi keluarga.

BARISAN pelakon Pinjamkan Hatiku pada malam gala filem berkenaan, baru-baru ini.
BARISAN pelakon Pinjamkan Hatiku pada malam gala filem berkenaan, baru-baru ini.

Filem Pinjamkan Hatiku sebenarnya lebih daripada yang anda jangkakan. Filem ini bagi Adik turut menampilkan elemen kasih sayang, pengorbanan, tidak berputus asa dan penuh dengan nilai serta mesej yang baik buat penonton.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, Adik ingin kongsi rasa syukur kerana selepas seminggu ditayangkan, filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali ini berjaya mengutip lebih RM1.8 juta. Alhamdulillah dengan sokongan diberi penonton dan pawagam pun dengarnya masih penuh.

Adik pinta doakanlah kelangsungan kejayaan buat filem ini. Mana tahu, mungkin ada rezeki lagi untuk Adik berlakon filem lain pada masa akan datang.

Akhir kata, salam sayang daripada Adik untuk anda semua! Muahciked!

#ManfaatCuti

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:56 AM