Hafiz Ithnin


Musim cuti persekolahan pertengahan penggal satu sudah bermula sejak beberapa hari lalu. Pasti adik-adik sekarang ini sedang menikmati waktu santai dan ramai juga ibu bapa mengambil peluang menghabiskan cuti tahun lalu yang masih bersisa untuk berehat bersama anak.

Walaupun cuti sekolah ini hanya seminggu, kehadirannya memang dinantikan apatah lagi kebanyakan sekolah sibuk mengejar masa dengan menjalankan pelbagai aktiviti wajib pada awal tahun supaya semuanya dapat disempurnakan sebelum Ramadan yang bakal disusuli deretan peperiksaan.

Biasanya pada cuti yang pendek begini, ibu bapa tidak merancang aktiviti khusus untuk anak. Lazim juga cuti seminggu dihabiskan dengan berehat saja di rumah. Bagi ibu bapa yang ketandusan idea, tidak perlu risau kerana ada aktiviti percutian yang boleh dilakukan sambil belajar, menimba pengalaman baru dan paling penting, ia menyeronokkan. Tinggalkan sekejap tablet atau telefon pintar di rumah.

TIDAK kira apa konsepnya, masing-masing ada daya tarikan dan menawarkan pengalaman tersendiri.
TIDAK kira apa konsepnya, masing-masing ada daya tarikan dan menawarkan pengalaman tersendiri.

Apa kata, untuk cuti sekolah kali ini, anda membawa anak mengunjungi taman tema.

Di negara kita ada banyak taman tema sama ada yang dibina khas atau terletak di dalam premis perniagaan. Anda juga boleh memilih jenis taman tema yang bersesuaian dengan minat anak kerana ada yang menyediakan aktiviti lasak atau berbentuk pendidikan.

Difahamkan, di negara kita ada lebih 20 taman tema dan sekurang-kurangnya satu di setiap negeri. Di Lembah Klang yang padat penduduk, ada lebih tiga taman tema untuk dipilih mengikut kemampuan poket.

Secara umumnya, ada tiga kategori konsep taman tema di Malaysia iaitu taman tema air, taman tema berbentuk pendidikan dan di dalam pusat beli-belah.

Taman tema air biasanya berkonsep bersepadu yang menyediakan pelbagai aktiviti lengkap untuk percutian iaitu mempunyai kemudahan penginapan, restoran dan paling utama ialah lokasi untuk pelbagai jenis riadah.

SEBAHAGIAN mat motor menolak motosikal masing-masing selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Yahya Ahmad Dungun. FOTO Ihsan JSPT Terengganu
SEBAHAGIAN mat motor menolak motosikal masing-masing selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Yahya Ahmad Dungun. FOTO Ihsan JSPT Terengganu

Ia juga mempunyai kepelbagaian aktiviti menyeronokkan untuk pelbagai peringkat usia seperti roller coaster, papan luncur panjang, pantai buatan, kolam simulator untuk aktiviti papan luncur, berakit tiub dan kolam mandi untuk kanak-kanak serta dewasa.

Malah, ada juga beberapa taman tema air yang menawarkan zoo mini untuk pengunjung merasai pengalaman melihat pelbagai haiwan liar.

Lebih menarik, ada taman tema berusaha menampilkan haiwan yang tiada di zoo awam selain persembahan haiwan jinak dan terlatih.

Tidak ketinggalan, terdapat juga taman tema air menawarkan aktiviti ekstrem seperti terjun bungee, flying fox, mesin melantun ke udara, go kart dan paintball.

Contoh taman tema yang mempunyai semua kemudahan ini ialah Sunway Lagoon (Petaling Jaya), Legoland Malaysia (Johor Bahru), Lost World of Tambun (Ipoh) dan i-City (Shah Alam).

Konsep kedua, taman tema yang berbentuk pendidikan. Taman tema sebegini biasanya wujud di dalam premis tertutup dan mempunyai pelbagai aktiviti interaktif yang menyeronokkan untuk kanak-kanak khasnya.

Ada juga taman tema pendidikan berunsurkan kerjaya atau cita-cita yang memberi peluang si kecil melakukan aktiviti ala latihan amali kerana mereka boleh ‘bekerja’ sekejap mengikut kerjaya diidamkan.

IMPIAN menjadi juruterbang juga boleh menjadi kenyataan di taman tema.
IMPIAN menjadi juruterbang juga boleh menjadi kenyataan di taman tema.

Ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk kanak-kanak kerana mereka bukan saja dapat merasai seketika menjadi watak individu dalam sesuatu kerjaya, malah merangsang semangat supaya gigih berusaha ke arah profesion yang diinginkan.

Taman tema pendidikan yang terkenal ialah KidZania di Petaling Jaya yang menyediakan pengalaman pelbagai profesion untuk kanak-kanak termasuk permainan ditaja syarikat berjenama gergasi tempatan dan luar negara.

Selain itu, ada juga taman tema berkonsepkan pendidikan yang menawarkan tayangan animasi. Animasi memang diiktiraf sebagai antara cabang pendidikan penting dan menyeronokkan untuk kanak-kanak kerana melaluinya si kecil boleh belajar bahasa, moral serta merangsang minda menjadi lebih kreatif.

Konsep ketiga taman tema di dalam pusat beli-belah. Biasanya taman tema sebegini hanya menawarkan permainan interaktif, e-sukan serta aktiviti ekstrem kepada golongan dewasa dan kanak-kanak.

Paling ketara, taman tema di dalam pusat beli-belah tidak mempunyai banyak aktiviti air kerana lebih tertumpu kepada konsep permainan dalaman untuk pengunjung seperti Taman Tema Berjaya Times Square di Kuala Lumpur.

ANTARA permainan tunggangan yang biasa didapati di taman tema.
ANTARA permainan tunggangan yang biasa didapati di taman tema.

Seperkara yang perlu diketahui, setiap taman tema mempunyai caj kemasukan tersendiri dan ibu bapa perlu bijak merancang serta memilih taman tema terbaik yang sesuai dengan bajet masing-masing.

Setiap taman tema tidak kira apa konsepnya, mempunyai daya tarikan dan menawarkan pengalaman tersendiri. Paling utama ialah bagaimana menjadikan aktiviti itu sebagai saluran pendidikan.

Membawa anak berseronok bukan saja menggembirakannya, malah boleh menaikkan semangatnya untuk belajar. Setidak-tidaknya mereka ada idea untuk ditulis jika diberi tugasan mengarang pengalaman ketika cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 12:17 PM