Ridzuan Abdul Rahman


Sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Diploma Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mementaskan tiga karya iaitu Mayat, Lipas dan Bilik di Studio Blackbox, Aswara pada 23 hingga 25 Mei ini.

Pensyarah Fakulti Teater ASWARA, Fasyali Fadzly berkata, PeTA adalah kursus berbentuk latihan amali/praktikal yang wajib diambil pelajar jurusan ini.

“Objektif PeTA untuk mengukur kualiti, kreativiti dan aplikasi teori serta latihan pelajar dengan mengetengahkan hasil kreativiti seseorang pelajar tahun akhir sama ada dalam bentuk persembahan, produksi, pameran, demonstrasi dan seminar.

“Kami ada lakukan sedikit kelainan kali ini di mana pementasan akan menggabungkan tiga cerita berbeza. Ia bakal dipersembahkan pelajar tahun akhir Diploma Tahun Tiga, Fakulti Teater Aswara,” katanya.

Fasyali berkata, dalam pementasan anjuran Fakulti Teater dengan kerjasama Fakulti Rekaan Seni Visual ASWARA ini, pemilihan tajuk dan cerita yang dipentaskan juga perlu melalui proses pembentangan dan mendapat persetujuan barisan panel penilaian dalaman terdiri daripada pensyarah Fakulti Teater Aswara.

“Mayat adalah karya Hatta Azad Khan, Lipas (Tawfiq Al-Hakim) dan Bilik (Noor Effendy Ibrahim). Ketiga-tiganya dipilih untuk dipentaskan dengan olahan dan pengarahan yang baru bagi setiap cerita,” katanya.

Mayat arahan Mohd Akid Jabran mengisahkan empat buruh kasar yang dalam kesedihan disebabkan kematian seorang daripada sahabat mereka kerana wabak penyakit.

Lipas yang dihasilkan Muhammad Hafiq Mohd Hatta pula mengisahkan sultan dalam kerajaan lipas menghadapi masalah serangan semut. Bagi menyelesaikan masalah itu, sultan memanggil semua menteri besar lipas untuk membincangkan permasalahan ini.

Sementara itu, Bilik yang diarahkan Mohamad Zulhusni Abdul Aziz mengisahkan lima individu iaitu Hasni, Fared, Faridah, Hamed dan Helmy yang menganut kepercayaan asing dan tinggal di sebuah bilik.

Persembahan ini berlangsung dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 3:29 AM