WAKIL dari Krishen Jit Astro Fun, Datin Marion D’Cruz (tengah) turut hadir memantau latihan.
WAKIL dari Krishen Jit Astro Fun, Datin Marion D’Cruz (tengah) turut hadir memantau latihan.

Seringkali kita menyaksikan persembahan membabitkan pelajar daripada jurusan seni teater dan muzik. Bagaimana pula situasinya jika pensyarah beraksi dan persembahan mereka ditonton pelajar serta penonton lain?

Inilah yang bakal disak­sikan menerusi pementasan teater kontemporari berjudul Langkau arahan Fasyali Fadzly yang akan dipentaskan di Studio Black­box, Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 25 hingga 27 Mac ini, jam 8.30 malam.

Produksi teater ini adalah gabungan Fakulti Teater dan Fakulti Tari dengan kerjasama Onelaybore Stage Production dan Krishen Jitt Astro Fund.

Barisan pelakonnya ialah Mohd Nur Faillul Adam dan pensyarah tari; Murni Omar dan Tengku Iefiz Alauddin, pensyarah teater. Ketiga-tiga mereka memperolehi biasiswa penuh daripada ASWARA untuk pengajian pascasiswazah di Eropah dan Kanada.

Turut serta ialah Sharul Mizad Ashari, penggiat seni teater yang berpengalaman dan memenangi beberapa anugerah iaitu Cameronian Awards Best Performance (Spilt Gravy On), Best Solo Performance Top 5 - Lembu dan Cameronian Awards Best Group Performance (Alang Rentak Seribu).

Fasyali yang juga memperoleh biasiswa penuh daripada ASWARA untuk pengajian PascaSiswazah di Eropah dan Kanada berkata, Langkau membabitkan kolaborasi baru antara Fakulti Tari dan Fakulti Teater dan idea­nya dicetuskan Faillul dan Murni.

“Idea asal teater ini berdasarkan pembabitan mereka dalam program yang disertai iaitu ‘Step-Up’ anjuran Dance Ireland semasa mereka melanjutkan pelajaran di sana.

“Secara tak langsung juga apa yang diperolehi dan dipelajari dapat dipersembahkan di Malaysia sendiri dengan berkonsep­kan tema dan gubahan baru.

“Maksud Langkau sendiri ialah satu langkah untuk mencapai sesuatu dengan lebih cepat. Kami cuba meneroka aspek sosial fobia orang yang takut kepada khalayak ramai.

“Latar belakang persembahan pula menampilkan kawasan masyarakat pertengahan digambarkan dengan juntaian pakaian yang disidai.

“Empat pelakon ini tampil dengan karakter yang berbeza. Apabila mereka mengenakan kot mewah, penampilan jadi lain. Tapi apakah penilaian terhadap seseorang akan dibuat menerusi pakaian? Inilah yang cuba ditampilkan dalam Langkau,” katanya.

Fasyali berkata, teater ini tidak menampilkan skrip khas dan semua­nya dipentaskan menggunakan kebijaksanaan empat pelakon ini.

“Kami hanya ambil mana-mana isu menarik dan kembangkannya. Ia lebih menjurus kepada tarian dan segala yang terjadi adalah berdasarkan rujukan pelakon ini dalam bidang masing-masing.

“Kami cuba hendak berkomunikasi dengan penonton menerusi cara yang baru. Ia bukanlah satu persembahan teater biasa tapi sebaliknya cuba menterjemah maksud fobia itu sendiri. Penonton akan melihat apa yang tersirat dalam bentuk tarian dan dialog yang terhad.

“Kalau nak diikutkan teater ini sebenarnya agak mencabar tapi ia disahut oleh kami semua bagi menampilkan sesuatu yang berbeza kepada masyarakat. Kami mahukan penonton berasakan impaknya,” jelasnya.

Katanya lagi, apa yang diharapkan dalam per­sembahan ini ialah pendekatan silang disiplin apabila akan mengeluarkan pergerakan tari yang tidak biasa digunakan dalam konteks koreografi terutama di Malaysia.

“Ini adalah gabungan antara pelakon dan penari. Justeru, produksi ingin melihat kecenderungan pelaku kepada pergerakan fizikal ataupun teks. Persembahan ini mungkin tak akan mempunyai dialog seperti teater dan tiada pergerakan tari yang biasa dilakukan oleh penari.

“Ia mungkin mengelirukan penonton kerana kemungkinan ia bukanlah teater fizikal, bukan juga tarian ballet ataupun tari moden. Ia adalah usaha kolaborasi yang diharapkan akan memberi impak kepada perasaan, minda, perasaan dan persepsi penonton,” katanya.

Pas masuk untuk menyaksikan persembahan ini ialah RM10 untuk golongan dewasa dan RM5 kepada pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:25 AM