WAJAH ceria kanak-kanak Sekolah Baan Kalim menerima kunjungan peserta kempen ‘Voluntourism’.
WAJAH ceria kanak-kanak Sekolah Baan Kalim menerima kunjungan peserta kempen ‘Voluntourism’.
Nurul Hidayah Bahaudin

KEMPEN ‘Voluntourism’ anjuran percutian kapal mewah Genting Cruise Lines membolehkan penumpang menyertai pelbagai aktiviti sukarela untuk membantu dan menyumbang kepada masyarakat dalam laluan kapal itu.

Aktiviti kebajikan seperti mengecat sekolah, membersihkan pantai dan memberi sumbangan kepada golongan kurang upaya disediakan pada tarikh dan jadual pelayaran tertentu di atas kapal pesiaran Dream Cruises dan Star Cruises.

Presiden Genting Cruise Lines, Kent Zhu berkata, program sempena perayaan Ulang Tahun Genting Cruise Lines ke-25 itu dijalankan sepanjang tahun ini adalah inisiatif baru diterajui pihaknya bagi memberi peluang kepada penumpang mengambil bahagian dalam aktiviti sukarela untuk membantu masyarakat di destinasi berbeza di Asia.

“Penumpang kini berpeluang memperkaya pengalaman percutian mereka dengan menyertai pelbagai aktiviti sukarela secara percuma untuk membantu dan menyumbang kepada masyarakat sambil menikmati cuti pelayaran ke destinasi menarik.

“Mereka yang bercuti bersama keluarga atau rakan boleh berkongsi pengalaman unik dengan menyertai aktiviti sukarela yang dirangka ketika melawat tempat menarik di Asia.

“Kami berharap penumpang tidak melepaskan peluang berharga ini untuk menjadi sebahagian penyumbang aktiviti bermakna selain memahami budaya setiap destinasi dan komuniti yang dilawati semasa bercuti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menggalakkan kru menyertai kempen berkenaan dengan meluangkan masa lapang mereka untuk terbabit dalam kerja sukarelawan di destinasi berkenaan.

Dalam pelayaran pertama kempen ini, Genting Cruise Lines menerusi kapal Dream Cruises bertolak dari Singapura ke Pulau Pinang dan Phuket, Thailand selama empat hari tiga malam, baru-baru ini.

“Lokasi pertama kapal ini membuat aktiviti sukarela ke Eden Handicap Service Center di Pulau Pinang dan penumpang berpeluang berinteraksi dan mengenali pelatih di pusat itu serta terbabit dalam pelbagai projek termasuk penyelenggaraan ringan di sekitar pusat.

“Seterusnya, penumpang dibawa ke Sekolah Baan Kalim, Phuket, Thailand untuk mengecat semula bangunan sekolah berkenaan yang terjejas akibat tsunami pada 2004,” katanya.

Pengurus Eden Handicap Service Center di Pulau Pinang, Bertie Thye, berasa terharu dengan inisiatif dilakukan Genting Cruise Lines yang memilih rumah kebajikan itu sebagai lokasi persinggahan bagi melakukan aktiviti sukarela.

“Ramai orang tidak tahu cara berinteraksi dengan golongan kurang upaya. Program seumpama ini membuka peluang kepada individu normal mendekati insan istimewa ini dan belajar untuk berinteraksi dengan mereka.

NINAD Avinash Patade, 30, bersama isteri, Rakhi Thakkar, 28, beramah mesra dengan pelatih di Eden Handicap Service Center.
NINAD Avinash Patade, 30, bersama isteri, Rakhi Thakkar, 28, beramah mesra dengan pelatih di Eden Handicap Service Center.

“Sebelum ini, memang ada pelancong yang datang ke rumah kebajikan ini untuk memberikan sumbangan, namun belum pernah ada program seperti ini diadakan di sini terutama membabitkan pelancong luar negara dalam jumlah ramai,” katanya.

Katanya, individu berusia antara empat tahun hingga 50-an mendapatkan latihan rutin harian dan pekerjaan membabitkan tugas mudah seperti mengisi mainan di dalam bekas, melakukan kerja pembersihan di premis dan mengumpul barangan kitar semula.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang menyertai program berkenaan, Ninad Avinash Patade, 30, berkata, dia teruja untuk melakukan aktiviti terbabit kerana pertama kali mempunyai pengalaman bercuti sambil melakukan kerja amal di negara luar.

“Saya bersama isteri, Rakhi Thakkar, 28, sedang menikmati percutian dalam pelayaran kapal ini untuk berbulan madu. Kenangan bulan madu kami bertambah manis apabila berpeluang melakukan aktiviti ini yang memberi peluang membantu golongan kurang upaya.

“Melalui program ini mencetuskan idea kepada kami untuk mengadakan aktiviti sukarela di kampung halaman di India sebagai usaha menyumbang semula kepada masyarakat terutama pihak memerlukan seperti golongan kurang upaya,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.

Bagi guru di Sekolah Baan Kalim, Phuket, Thailand, Raweewan yang mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan, pihaknya menyambut baik program seumpama itu diadakan bagi membolehkan murid berinteraksi dengan orang luar.

“Pulau ini adalah lokasi tarikan pelancong. Kami pasti menyambut baik jika ada pelancong yang datang berkunjung ke sekolah ini untuk memberi sumbangan dalam apa jua bentuk terutama dari aspek pembelajaran murid.

“Sejak sekolah ini dibina semula, kami menerima banyak sumbangan seperti buku, alat tulis dan lain-lain dalam usaha membantu murid menikmati kemudahan serta suasana pembelajaran lebih baik,” katanya.

Suami isteri, Amos Madina, 71, dan Jeanette Madina Lim, 70, iaitu bekas guru dari Singapura yang juga penumpang kapal persiaran mewah berkenaan merasakan percutian kali ini adalah sesuatu yang unik dan berbeza berbanding percutian atas kapal yang pernah dilalui sebelum ini.

Amos berkata, dia dengan isterinya sering mengikuti percutian di atas kapal bagi meluangkan masa bersama selepas bersara beberapa tahun lalu.

“Kami memilih percutian atas kapal kerana ia menyeronokkan. Sudah tiga kali kami bercuti dengan belayar, tetapi ini kali pertama kami mengikuti pelayaran percutian yang memberi peluang kepada penumpang untuk mengikuti program sukarela.

“Saya dan isteri tertarik menyertai program sukarela di Sekolah Baan Kalim kerana ia dekat dengan jiwa memandangkan kami pernah berkhidmat sebagai guru.

“Kami rasa ini adalah langkah positif untuk menyumbang kepada masyarakat di pelbagai destinasi sambil melancong. Kami seronok dapat berinteraksi dengan murid dan melihat wajah mereka yang gembira dengan kedatangan peserta program ini,” katanya.

ANTARA aktiviti yang dijalankan penumpang dan kru kapal bersama pelatih di Eden Handicap Service Center di Pulau Pinang.
ANTARA aktiviti yang dijalankan penumpang dan kru kapal bersama pelatih di Eden Handicap Service Center di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:38 AM