KAPAL mewah menampung 4000 pelancong dan 1,000 kru kapal.
KAPAL mewah menampung 4000 pelancong dan 1,000 kru kapal.
Nurul Husna Mahmud

Genting Cruise Lines menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Resort Cakrawala Bintan sebagai tanda kerjasama untuk memajukan industri pelancongan berasaskan pelayaran di Pulau Bintan, Indonesia.

Pulau Bintan dilihat mempunyai prospek strategik baik daripada segi lokasinya yang berhampiran dengan Marina Bay Singapura iaitu pusat operasi Dream Cruises selain mempunyai pelbagai aktiviti rekreasi boleh dijadikan tarikan pelancong singgah ke pulau berkenaan menerusi laluan laut.

Menurut Presiden Dream Cruises Thatcher Brown, pihaknya melihat Pulau Bintan sebagai permata sangat berharga boleh digilap potensinya sebagai tarikan pelancongan berasaskan pelayaran apabila mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik.

“Rasanya satu kerugian apabila tidak memanfaatkan kewujudan Pulau Bintan sebagai lokasi mesti dikunjungi kapal layar kerana bukan saja kaya dengan pelbagai tarikan budaya malah terkenal dengan keindahan pulaunya.

“Kalau dilihat pada kedudukan berbanding dengan destinasi pelayaran lain seperti Phuket mahupun Bali, rasanya Pulau Bintan mempunyai kelebihan kerana jaraknya terlalu hampir dengan Singapura yang kini menjadi pusat operasi untuk kapal kami.

“Kami menjangkakan bagi setiap pelayaran anggaran 30 hingga ke 50 peratus daripada 3,000 pelancong selain lebih 1,000 anak kapal yang menyertai pelayaran ini dapat memanfaatkan percutian mereka dengan mengunjungi pulau terbabit sekali gus membantu perkembangan industri pelancongan mahupun ekonomi tempatan,” katanya.

SESI bertukar cenderahati antara Brown dan Dr Nurdin.
SESI bertukar cenderahati antara Brown dan Dr Nurdin.

Serentak dengan majlis terbabit turut dilangsungkan upacara Meraikan Ketibaan Pelayaran Sulung Kapal Layar Dream Cruises di Terminal Feri Telani Bentan oleh rombongan tuan rumah termasuklah Gabenor Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia Dr Nurdin Basirun, Penasihat Kehormatan Menteri Pariwisata & Ketua Tim Percepatan Pengembangan Wisata Bahari, Kementerian Pariwisata Republik Indonesia Dr Indroyono Soesilo, Penasihat Senior untuk Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Sumber Daya, Laksamana Purnawirawan dan Mantan Kepala Angkatan Laut Indonesia Dr Marsetio dan Duta Besar Indonesia di Singapura Bapak I Gede Ngurah Swajaya selain kumpulan media.

Sementara itu Dr Indroyono Soesilo menyifatkan pihaknya melihat konsep pelancongan sebegini bakal menaikkan imej Pulau Bintan yang turut dikelilingi lebih 200 pulau lain sebagaimana destinasi tersohor lain seperti Bali, Surabaya dan Jakarta.

“Ini satu destinasi masih baru dan mempunyai potensi seperti lokasi popular lain. Keistimewaan Bintan semestinya pelbagai susur galur budaya selain dikelilingi lautan dan juga hutan paya dilihat satu produk penting dalam menarik kumpulan pelancong ke sini.

“Bukan saja terkenal dengan sukan rekreasi, pelancong boleh membeli cenderahati dihasilkan sendiri penduduk tempatan sebagai kenangan. Pihak kami semestinya melihat beberapa usaha penambahbaikan baik dari segi fasiliti terutama terminal pelabuhan selain perancangan meneliti mekanisme terbaik bagi akses pengunjung dari kapal ke pulau dengan lebih pantas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:50 PM