Tuanku Zara (kanan) berkenan berangkat tiba pada Majlis Pertandingan Bercerita Anak-Anak Kampung Orang Asli Sungai Gabong hari ini. FOTO Bernama
Tuanku Zara (kanan) berkenan berangkat tiba pada Majlis Pertandingan Bercerita Anak-Anak Kampung Orang Asli Sungai Gabong hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

RAJA Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat menyaksikan pertandingan bercerita oleh murid dan pelajar sekolah dari Kampung Orang Asli Sungai Gabong, Bentong, Pahang.

Keberangkatan baginda diiringi Pengerusi Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Raja Datuk Seri Azureen Azlan Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Bhd Shahrul Azlan Shahriman.

Seramai 11 peserta berusia antara 10 dan 16 tahun menyertai pertandingan yang sebahagian daripada program khidmat masyarakat (CSR) syarikat pengendali takaful berkenaan dalam usaha menaik taraf kehidupan serta pendidikan komuniti Orang Asli.

Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan terbahagi kepada kategori sekolah rendah dan menengah dalam acara di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun di Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Shahrul Azlan berkata, Kampung Sungai Gabong adalah kampung angkat syarikat itu sejak 2018.

“Secara tidak langsung kami memainkan peranan tidak kurang penting dalam membawa kehidupan Orang Asli kampung itu ke tahap lebih baik khususnya meningkatkan taraf serta akses dalam aspek pendidikan,” katanya.

Menurutnya, usaha lain yang dilakukan ialah pemasangan panel solar dan sistem penapisan air tahun lalu bagi menyediakan akses utiliti yang lebih baik kepada penduduk selain menyediakan perpustakaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 3:16 PM