ASMAH menyiapkan sarapan suaminya.
ASMAH menyiapkan sarapan suaminya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sering kali kita berasakan hidup yang dilalui sangat sukar, namun terlupa masih ada insan lain lebih getir kehidupannya.

Malahan tidak kurang juga ada antara mereka, hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kisah sepasang suami isteri warga emas yang terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam keadaan serba kekurangan selain rumah didiaminya tidak terurus ini antara buktinya.

Kunjungan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Salam ke rumah warga emas terbabit di Batu 9 Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Selangor baru-baru ini menyentak hati penulis apabila melihat kehidupan mereka.

Mereka adalah penerima manfaat Program Smiles of Syawal anjuran pertubuhan berkenaan yang bertujuan mengembalikan senyuman menyambut Syawal, menjalankan aktiviti penyediaan juadah hari raya dan bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran warga emas terbabit.

Si suami terlantar di atas tilam di ruang tamu kecil yang dipenuhi lambakan barangan. Keadaan kehidupan mereka sememangnya menyentuh hati sesiapa saja yang melihatnya.

MUHAMMAD Nganadi terlantar dua tahun lalu kerana masalah tulang pinggul.
MUHAMMAD Nganadi terlantar dua tahun lalu kerana masalah tulang pinggul.

Sementara si isteri pula setia di sisi menemani suaminya dan begitu mesra berbual dengan penulis sebaik memasuki kediaman projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) dihuni mereka.

Asmah Hamzah, 68, menghidap penyakit jantung berlubang dan sudah menjalani pembedahan pada 2002.

Sementara suaminya, Muhammad Nganadi Muhammad Mustar, 62, terlantar sejak dua tahun lalu ekoran masalah tulang pinggul dihadapinya.

Mereka mendirikan rumah tangga lebih 40 tahun lalu namun tidak dikurniakan cahaya mata. Agak menyedihkan kerana pasangan ini sudah lama tidak merasai kemeriahan Syawal.

Asmah berkata, kemiskinan hidup menyebabkan mereka menyambut Aidilfitri secara ala kadar tanpa membuat sebarang persiapan termasuk tiada baju baru dan menghias rumah seperti kelaziman dilakukan orang lain.

KIRA-KIRA 25 sukarelawan Yayasan Salam terbabit dalam program Smiles of Syawal.
KIRA-KIRA 25 sukarelawan Yayasan Salam terbabit dalam program Smiles of Syawal.

Katanya, suasana hari raya di rumahnya tiada perbezaan dengan hari biasa cuma sekadar memasak ketupat dan kari ayam untuk mereka berdua bagi memenuhi keinginan menikmati makanan tradisi itu.

“Ditambah pula dengan masalah kesihatan dan keadaan suami yang lumpuh membuatkan keterujaan menyambut Syawal seperti sudah tiada.

“Pada pagi Syawal hati menjadi sayu. Sayu kerana bukan saja teringatkan ahli keluarga yang sudah tiada tetapi turut mengenangkan nasib diri yang hidup dalam kesusahan.

“Walaupun ada suami tapi tetap berasa kekurangan, sunyi dan kehidupan seperti kurang bermakna,” katanya kepada Nuansa.

KONTRAKTOR membersihkan kawasan rumah Asmah.
KONTRAKTOR membersihkan kawasan rumah Asmah.

Katanya, dia kerap menangis mengenangkan nasib diri dan ujian hidup dilaluinya. Asmah mengakui cuba mengelak daripada menitiskan air mata di hadapan suaminya kerana tidak mahu membuatkan dia susah hati.

“Memang saya reda dengan ujian ini tetapi ada kalanya tidak dapat menolak keluhan hati daripada mempersoalkan takdir hidup yang saya lalui.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada yang sudi datang ke rumah usang ini dan mengadakan aktiviti seperti ini.

“Kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat melenyapkan kesedihan hati dan membuatkan saya gembira. Sudah lama saya tidak merasai suasana seperti ini,” katanya yang meneruskan hidup dengan bantuan zakat sebanyak RM250 sebulan selain sumbangan orang ramai.

SUKARELAWAN memasak lodeh.
SUKARELAWAN memasak lodeh.

Katanya, dia juga memelihara tujuh kucing jalanan untuk menceriakan suasana rumah yang dianggap seperti ‘anak’ selain berfungsi sebagai terapi kepadanya.

Sementara itu Ketua Projek Smiles of Syawal Nurul Syahira Ariffin berkata, warga emas terbabit adalah penerima program My Ole-Ole pertubuhan berkenaan yang diadakan pada April lalu.

Katanya, kali ini mereka dipilih lagi untuk program berkenaan memandangkan keadaan kehidupan warga emas itu perlu dibantu dan diberikan perhatian sewajarnya.

ASMAH bersama kucing peliharaannya.
ASMAH bersama kucing peliharaannya.

“Ketika kali pertama kami datang ke sini (Program My Ole-Ole), kami melihat keadaan rumah dan persekitarannya tidak terurus.

“Kawasan sekitar rumah ini dikelilingi semak samun dan tidak menyangka ada sepasang suami isteri tinggal di sini,” katanya.

Jelasnya, keadaan seperti itu sangat berbahaya kepada mereka kerana dikhuatiri rumah akan dimasuki haiwan berbisa atau berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, Yayasan Salam mengambil inisiatif melantik kontraktor untuk membersihkan persekitaran rumah mereka demi memastikan warga emas terbabit menjalani kehidupan lebih sempurna dan selesa.

SUKARELAWAN Yayasan Salam menyiapkan juadah raya.
SUKARELAWAN Yayasan Salam menyiapkan juadah raya.

“Kami gembira kerana dapat melihat senyuman pasangan suami isteri ini dan berharap kegembiraan ini berpanjangan.

“Malah kami tidak mahu mereka hidup dalam kesedihan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Kampung Batu 9 Kampung Medang Juhari Talib berkata, pasangan suami isteri terbabit tidak pernah dipinggirkan dan turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik terutama pada Ramadan lalu.

Beliau berkata, Muhammad Nganadi juga adalah penerima bantuan kewangan bulanan Lembaga Zakat Selangor.

NURUL Syahira memimpin tangan Asmah.
NURUL Syahira memimpin tangan Asmah.

Tercapai hajat makan burger

Kunjungan Yayasan Salam ke kediaman Asmah Hamzah, 68, dan suaminya Muhammad Nganadi Muhammad Mustar, 62, jelas memberikan kegembiraan berganda kepada warga emas itu.

Ini kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit dapat memenuhi keinginan mereka untuk menikmati burger yang sekian lama terpendam.

Hasrat itu disuarakan sendiri Asmah kepada Ketua Program Smiles of Syawal, Nurul Syahira Ariffin ketika berbual mesra dengannya.

Tanpa berlengah, Yayasan Salam segera mendapatkan makanan dengan membelinya di bandar kira-kira 10 kilometer dari kediaman pasangan itu.

Senyuman lebar terukir pada wajah warga emas terbabit tatkala Nurul Syahira menyerahkan bungkusan yang mengandungi dua burger dan kentang goreng kepadanya.

ASMAH merasai keenakan burger.
ASMAH merasai keenakan burger.

Asmah pula berkata, sudah lama dia ‘mengidam’ untuk merasai keenakan makanan segera berkenaan tetapi tidak berpeluang untuk membelinya.

“Selama ini saya hanya melihat makanan itu menerusi iklan yang banyak disiarkan dalam televisyen.

“Ini membuatkan saya begitu teringin untuk merasainya kerana iklan dalam televisyen menunjukkan ia kelihatan begitu lazat.

“Saya memang gemar makan burger dan kadangkala meminta pertolongan anak buah untuk membelikan burger biasa yang dijual di kampung ini,” katanya.

Katanya, harga burger ini agak mahal dan mustahil untuknya membeli sendiri makanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:53 AM