FOTO Hayati Ibrahim
FOTO Hayati Ibrahim
Oleh Hayati Ibrahim


Sepang: Seramai 1,500 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi lima penerbangan khas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2); Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang dan Johor.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen M Saravana Kumar berkata,penghantaran pulang itu adalah kali kedua dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia dan kos penghantaran ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Indonesia.

"Mereka yang dibawa pulang ini ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk mengikut Akta Imigresen dan terbabit dalam jenayah kecil.

"Pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan di depoh tahanan Imigresen di seluruh negara,"katanya pada sidang media di klia2 di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, semua warga Indonesia ini ditempatkan di depoh tahanan Langkap, Perak; Tanah Merah, Kelantan; Ajil, Terengganu; Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Semenyih, Selangor; Belantik dan Juru di Pulau Pinang serta Pekan Nanas, Johor.

Sementara Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermano berkata, penghantaran pulang warga Indonesia itu adalah atas arahan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 1:00 PM