GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Seramai 35 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua mangsa tiba menerusi dua kumpulan masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 petang melalui penerbangan MH755 serta penerbangan AK539 di klia2 pada 5.35 petang.

"Ini kejayaan terbesar Kementerian Luar membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket itu melalui Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Phnom Penh.

"Setakat semalam, daripada 220 kes jenayah penipuan penawaran pekerjaan di negara itu yang dilaporkan, kesemua mangsa sudah berjaya dibawa pulang.

"Setakat ini, tiada mangsa yang berada di dalam depoh tahanan imigresen negara itu. Kementerian Luar akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia membantu mangsa apabila dilaporkan dan memerlukan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama Wisma Putra melalui KBM di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan dan menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di negara berkenaan.

"Daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima, seramai 324 individu berjaya diselamatkan. Ini termasuk 20 yang berada di dalam depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara terbabit.

"Pihak KBM di ketiga-tiga negara itu dengan kerjasama kerajaan masih giat mengesan seramai 135 lagi yang dilaporkan sebagai mangsa," katanya.

Selain itu Saifuddin berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama terbaik bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini dibawa pulang ke tanah air.

"Selain itu, penghargaan juga dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan media tempatan di atas kerjasama erat yang diberikan dalam urusan kepulangan mereka.

"Warga Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang diterima, terutama melalui platform sosial media.

"Mereka boleh berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di negara yang berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 11:53 AM