Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling


FASA pertama penghantaran pendatang asing tanpa izin (Pati) bermula hari ini membabitkan 2,189 warga Indonesia yang berada di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan pertama membabitkan 450 Pati dihantar pulang menerusi tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya, hari ini.

"Diikuti 445 Pati ke tiga lokasi itu juga pada 10 Jun. Proses penghantaran pulang melalui jalan laut pula membabitkan 1,294 Pati yang dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, fasa kedua pula membabitkan 2,623 Pati yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan.

Katanya, kerajaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia di atas kerjasama yang diberikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa negara juga sudah bersetuju untuk menerima rakyat mereka yang berada di negara ini.

"Ketika pertemuan dengan Duta Besar China, mereka juga bersetuju untuk menerima lebih 500 rakyat mereka yang sedang ditahan di depoh tahanan imigresen.

"Jadi, saya menyeru kepada kedutaan lain yang mempunyai rakyat mereka di depoh tahanan supaya bekerjasama untuk membantu menghantar pulang rakyat mereka ke negara asal," katanya.

Pati warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Pati warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 3:28 PM