Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kelahiran bayi ternyata satu peristiwa yang menggembirakan semua ibu bapa, namun tanpa disedari ia penuh dengan cabaran.

Saat bayi menangis, itu antara isyarat yang sangat baik mengenai keperluannya. Namun, ia juga menjadi isyarat yang kurang jelas apa yang benar-benar diperlukan si kecil ketika itu.

Menurut pakar pediatrik dan kardiologi kanak-kanak, Dr Yong Junina Fadzil, menangis berterusan masalah bayi yang biasa kepada ibu bapa atau penjaga bayi baru lahir atau bayi berusia kurang dari satu tahun.

"Menangis antara cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa. Sawan tangis biasanya istilah kepada bayi yang menangis secara berpanjangan terutama pada waktu senja.

"Sama ada sawan tangis atau kolik, sukar diperkatakan kerana ia mempunyai asas berlainan. Bagaimanapun, tanda dan manifestasi kedua-duanya sangat serupa," katanya.

Menurutnya, ibu perlu memastikan sebab anak menangis, sama ada berpunca daripada lampin basah, suasana persekitaran terlalu panas atau sejuk, lapar, gigitan serangga atau faktor lain.

Bayi biasanya menangis apabila lapar dan dahaga, mengantuk, letih, kesejukan atau basah, minta didukung, perlu ditukar lampin, kesakitan atau tidak selesa.

Pakar pediatrik gastroenterologi dari Filipina, Dr Jossie Rogacion berkata, selepas lahir, saluran gastrousus masih dalam keadaan menyesuaikan diri dengan fungsi baru.

"Ketika ini, bayi mungkin menghadapi gejala seperti kolik, sering muntah, perut berangin, sembelit dan cirit-birit ringan. Kolik adalah keadaan bayi yang sihat bersifat terlalu rengsa, asyik merengek dan menangis tanpa sebab yang jelas.

"Ia berlaku pada bayi dalam tempoh beberapa minggu pertama kehidupan, membabitkan sehingga 40 peratus daripada bayi di seluruh dunia," katanya.

Dr Jossie menegaskan, walaupun kolik dan ketidakselesaan gastrousus yang lain biasa dalam kalangan bayi sihat, masalah ini boleh menyebabkan ibu bapa tertekan.

Lebih memburukkan keadaan apabila ia memberi kesan kepada tabiat tidur si kecil dan ibu bapa hingga akhirnya mengancam kualiti hidup mereka.

Cara mudah mengenal pasti kejadian kolik menggunakan tiga petua

-Menangis lebih daripada tiga jam sehari.

-Gejala pertama diikuti dengan menangis secara berterusan hingga tiga hari seminggu.

-Menangis secara berterusan selama lebih daripada tiga minggu.

Keadaan kolik boleh berpunca daripada beberapa faktor

-Keresahan ibu

-Interaksi ibu dan bayi yang tidak mencukupi atau kurang sesuai

-Fungsi pencernaan yang tidak matang

-Tidak toleransi kepada laktosa

-Alahan terhadap protein susu lembu

Cara mengatasi kolik

Bayi yang mengalami keadaan kolik juga mempunyai bakteria usus berbeza berbanding si kecil yang tidak mengalami masalah ini.

"Kekurangan masa tidur pada malam hari bagi bayi yang mengalami kolik amat ketara, sekali gus mengganggu tidur seisi keluarga.

"Ibu kepada bayi yang mengalami kolik hampir empat kali ganda berkemungkinan mengalami tekanan perasaan, biasanya berlaku dua bulan pertama selepas kelahiran bayi. Ada sesetengah bayi yang menghadapi kolik berisiko tinggi mengalami kesakitan di bahagian abdomen dan masalah berkaitan tidur di kemudian hari," katanya.

Walaupun kolik bukan masalah perubatan utama yang akan pulih sendiri dalam tempoh sekitar empat hingga lima bulan, ia boleh menyebabkan banyak ketegangan serta kebimbangan seisi keluarga.

Kini, muncul penyelesaian alternatif yang selamat dengan manfaat menambah keselesaan kepada gastrousus dengan penggunaan probiotik, Lactobacillus reuteri (L. reuteri).

"Beberapa kajian membuktikan keberkesanan L. reuteri sebagai rawatan untuk kolik dan masalah pencernaan yang lain kepada bayi. Begitu mengejutkan apabila probiotik berkenaan didapati berkesan dalam kalangan hampir 100 peratus bayi selepas tiga minggu penggunaannya dan mengurangkan masa tangisan sebanyak 50 peratus.

"Kajian ini juga menunjukkan kesan positif probiotik berkenaan yang baik untuk bayi dan memberi kebaikan kepada keluarga dengan laporan peningkatan sehingga 66 peratus skor mutu hidup," katanya.

Satu kajian berasingan menunjukkan masa tangisan bayi dapat dikurangkan sehingga 74 peratus selepas ia digunakan dalam masa seminggu.

Kajian terbaru di Itali pula menunjukkan penggunaan L. reuteri membantu menjimatkan RM370.20 (88 euro) bagi setiap kanak-kanak dari segi kos bagi kehilangan hari bekerja ibu bapa.

Kajian berasingan juga membuktikan ia membantu memberi keselesaan kepada sistem gastrousus bayi dengan mengawal selia fungsi pencernaan, mengurangkan sembelit dan kesakitan abdomen serta mencegah kolik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:03 AM