BANJIR kilat akibat hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
BANJIR kilat akibat hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
Oleh Norzamira Che Noh


Klang: Hujan lebat petang tadi menyebabkan dua taman perumahan di daerah ini dan Kampung Orang Asli Paya Rumput, Kuala Langat dilanda banjir kilat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, taman perumahan yang terbabit adalah Taman Maznah dan Taman Sentosa dinaiki air setinggi 0.1 meter.

"Kawasan sekitar bandar ini berlaku banjir kilat selepas hujan lebat sejak jam 4.30 petang dan berlarutan lebih dua jam.

"Hujan lebat seterusnya menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rendah di taman perumahan berkenaan dan kampung Orang Asli berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Namun begitu, beliau berkata, tiada pemindahan dibuat kerana banjir kilat mulai surut selepas hujan berhenti 7 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 7:56 PM