RAHIMAH mampu menyiapkan sehingga 1,000 biji ketupat sehari bagi memenuhi tempahan pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
RAHIMAH mampu menyiapkan sehingga 1,000 biji ketupat sehari bagi memenuhi tempahan pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

KETUPAT palas menjadi antara juadah tradisional mudah didapati pada bulan Ramadan dan Syawal.

Rahimah Omar, 59, yang juga pembuat ketupat palas tradisional dari Kampung Kubang Palas, Banggu, Kota Bharu saban tahun tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan bagi memenuhi permintaan pelanggannya terutama pada bulan Ramadan dan Syawal.

Katanya, ketika memproses ketupat palas, dia 'mengarong' (mengadun) pulut bersama santan menggunakan kudratnya 100 peratus tanpa bantuan mesin.

"Proses 'mengarong' pulut bersama santan agak memenatkan kerana ia sentiasa perlu dikacau menggunakan senduk kayu supaya adunan menjadi lebih sebati selain ketupat tahan lama iaitu sehingga enam bulan jika diletakkan di dalam peti sejuk beku serta tidak cepat basi.

"Bagaimanapun, petua orang dahulu kala ada memberitahu, selepas pulut siap dikukus ia tidak boleh diletakkan di atas simen kerana pulut akan berbau 'tengik'," katanya.

Rahimah berkata, cabaran paling besar adalah mencari daun palas dan ada kalanya ia sukar diperoleh, namun dia tetap berusaha meneruskan punca pendapatan sejak 30 tahun lalu itu.

Menurutnya, daun palas itu digulung membentuk kelongsong tiga segi sebelum dibersihkan dan diisi pulut sudah dikukus ke dalam kelongsong itu.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, kemahiran membungkus penting kerana jika tidak, bentuk segi tiga kelihatan kurang kemas dan kurang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:18 PM