SEMAKIN banyak muzium beri peluang kepada pengunjung buta akses kepada karya seni.
SEMAKIN banyak muzium beri peluang kepada pengunjung buta akses kepada karya seni.
LUKISAN asal disalin semula dengan teknik khas supaya ia lebih timbul untuk pengunjung buta.
LUKISAN asal disalin semula dengan teknik khas supaya ia lebih timbul untuk pengunjung buta.
LUKISAN asal disalin semula dengan teknik khas supaya ia lebih timbul untuk pengunjung buta.
LUKISAN asal disalin semula dengan teknik khas supaya ia lebih timbul untuk pengunjung buta.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


‘Dilarang menyentuh bahan pameran’. Ini ayat yang biasa kita temui di mana-mana muzium di seluruh dunia. Bahkan kalau mahu merakam gambar, kita diingatkan untuk memastikan supaya tidak menggunakan lampu kamera.

Namun di Prado, muzium seni terkemuka di Sepanyol, ceritanya berbeza. Memang pada hari biasa, mata kakitangan di muzium itu tajam memerhatikan pengunjung supaya tiada yang menyentuh karya berharga yang dipamerkan.

Pun begitu, mereka memberi kelonggaran kepada pengunjung cacat penglihatan. Bahkan pengunjung yang tidak boleh melihat itu diberi keistimewaan menerusi program ‘Touching the Prado’ untuk menghayati karya seni menggunakan hujung jari mereka.

Jose Pedro Gonzalez, 56, antara yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan berkenaan. Perlahan-lahan dia menggerakkan jarinya ke atas salinan lukisan terkenal ‘Apollo in the Forge of Vulcan’ karya Diego de Velazquez yang dihasilkan pada abad ke-15.

Berulang kali jarinya digerakkan pada tuhan Apolla yang memakai mahkota daripada daun laurel dan cuba ‘menghayati’ pakaiannya.

“Ada banyak perkara boleh anda temui dalam lukisan dan ini yang saya suka,” kata Gonzalez yang kehilangan penglihatannya pada usia 14 tahun.

Lukisan itu antara enam salinan karya pelukis terkenal seperti El Greco dan Francisco Goya, dibuat khas untuk muzium Prado yang mengadakan pameran pertama bagi si buta.

Mereka menggunakan teknik khas yang membuatkan lukisan itu tampak lebih timbul selain memberi tekstur padanya bagi membolehkan pengunjung cacat penglihatan atau penglihatan terhad peluang untuk membayangkan di fikiran mengenai imej pada lukisan berkenaan dengan merabanya.

Satu mangkuk air disediakan di tepi lukisan. Malah, anjing pemandu turut ditempatkan di situ selain arahan suara bagi memberitahu pengunjung cara terbaik menghayati lukisan melalui sentuhan.

“Ini pameran yang sangat bagus dan bijak. Satu-satunya akses untuk pengunjung cacat penglihatan kepada lukisan ialah melalui penerangan daripada orang lain,” kata Gonzalez yang sudah beberapa kali mengunjungi pameran itu sejak ia dibuka Januari lalu.

Akses kepada karya seni

“Muzium di negara lain juga menggunakan teknik sama bagi menghasilkan atau menyalin semua karya seniman agung untuk pengunjung buta, tetapi saiznya lebih kecil dan hanya dalam warna hitam putih,” kata kurator pameran di Prado, Fernando Perez Suescun.

Salinan lukisan di Muzium Prado dihasilkan sama seperti karya asal, tetapi dalam saiz kecil sedikit bagi membolehkan pengunjung buta menyentuh keseluruhan permukaannya.

Muzium berkenaan memilih beberapa karya yang menjadi wakil kepada koleksi yang besar di situ di mana perincian lukisan berkenaan boleh dikemukakan dengan menebalkannya.

“Amat sukar untuk orang buta membayang–kan dalam fikiran bagaimana rupa sebenar sesebuah lukisan. Jadi kami mencari lukisan yang boleh memberi maklumat dengan jelas,” kata Suescun.

Muzium Prado bercadang untuk membuat pameran bergerak untuk lukisan salinan semula berkenaan ke bandar lain selepas pameran di Madrid tamat pada 18 Oktober.

Pameran itu adalah sebahagian daripada usaha muzium di Sepanyol untuk membolehkan golongan buta mempunyai akses kepada koleksi mereka dengan bantuan organisasi bagi orang buta yang terkenal di negara itu, dikenali sebagai ONCE.

Di muzium seni moden Reina Sofia yang terletak tidak jauh dari situ yang mempamerkan ‘Guernica’ karya Pablo Picasso - juga membenarkan pengunjung buta menyentuh sesetengah arca manakala Muzium Kostum di Madrid pula mengadakan pameran tetap untuk pakaian asli yang digayakan pada zaman dulu termasuk gaun pada abad ke-18, yang boleh dipegang.

ONCE yang menjual loteri harian di Sepanyol mengupah lebih 20,000 pekerja buta atau vendor cacat, memberi khidmat nasihat kepada pihak muzium bagaimana cara untuk meningkatkan jumlah pe­ngunjung cacat penglihatan ke muzium mereka.

“Semua usaha ini tidak hanya membantu orang buta, malah mereka yang mengalami sebarang jenis kecacatan atau ketidakupayaan,” kata ketua program sukan dan rekreasi ONCE, Angel Luis Gomez Blazquez.

Muzium yang dimiliki ONCE di Madrid mempamerkan 34 model mercu tanda dunia seperti Menara Eiffel, Taj Mahal dan Kremlin yang boleh disentuh pengunjung buta.

Pakar pembaik pulih lukisan datang setiap Isnin ke muzium berkenaan bagi membaiki kerosakan pada karya salinan semula itu.

Menurut jurubimbing Prado, Estrella Cela, pengunjung buta kadangkala menyentuh model lukisan yang memaparkan satu-satu lokasi atau bangunan yang ingin mereka kunjungi atau pernah lihat sebelum kehilangan penglihatan.

“Salinan semula ini juga secara tidak langsung boleh membantu golongan ini mengingat semula apa yang mereka sudah tahu,” kata Cela, 59, yang cacat penglihatan bekerja di muzium berkenaan sejak ia dibuka pada penghujung 1992.

Pameran multi deria

Elisabeth Axel, presiden dan pengasas Art Beyond Sight, badan tidak berkeuntungan beribu pejabat di New York, adalah badan khusus untuk memberi akses kepada muzium bagi orang buta berkata, dia gembira kerana kini semakin banyak muzium di seluruh dunia mula membuka ruang kepada pengunjung cacat penglihatan menghayati koleksi mereka.

“Sekarang semakin banyak muzium yang benar-benar berusaha menarik kedatangan pengunjung dengan mengadakan pameran multi deria,” katanya.

Muzium Seni Metropolitan di New York yang mengadakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung buta termasuk lawatan berpandu, bengkel dan kelas lukisan di mana mereka boleh menyentuh arca menjadi peneraju dalam perkara ini.

“Menyentuh, menghidu dan mendengar adalah sangat penting. Oleh kerana saya tidak boleh melihat, saya perlu manfaatkan sepenuhnya deria lain dan tangan kita sebenarnya mengajar kita banyak perkara,” kata Jose Luis Andreas, 55, yang hilang penglihatan lapan tahun lalu, sambil memegang sehelai gaun di Muzium Kostum di Madrid. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:53 AM