AHMAD Shabery melancarkan tiga buku terbitan FRIM.
AHMAD Shabery melancarkan tiga buku terbitan FRIM.
Oleh Mohamad Hussin


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerbitkan tiga buku sempena Persidangan Industri Herba 2015 (PIH2015) di Wisma Tani, Putrajaya, baru-baru ini.

Buku berkenaan bertajuk Statistik Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia, MSS 2999 Kitab Tib: Pandangan dan Tafsiran Perubatan Moden Terhadap Manuskrip Perubatan Melayu dan Travelog: Catatan Kembara Renih serta Sistem Rantaian Industri Herba (Sri Herba).

Penerbitan berkenaan dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Persidangan tiga hari itu anjuran bersama FRIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertema Memperkasakan Jalinan Industri Herba Ke Arah Transformasi Ekonomi.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, buku statistik pengamal perubatan adalah hasil penemuan aktiviti bancian pengamal perubatan tradisional Melayu yang dijalankan dari September 2013 hingga Mac tahun lalu.

Beliau berkata, hasil bancian ini, 4,975 pengamal dikenal pasti dan 2,934 atau 59 peratus daripada mereka berjaya ditemu bual.

“Buku statistik ini diterbitkan bagi memaparkan data asas berkaitan pengamal perubatan tradisional Melayu. Ia juga boleh dijadikan panduan asas kepada pembuat polisi dan golongan yang berminat menjalankan penyelidikan mendalam mengenai pengetahuan tradisi Melayu.

“Ia dibahagikan kepada enam seksyen membabitkan taburan pengamal perubatan tradisional Melayu, maklumat demografi sosial pengamal yang ditemu bual, profil pengamalan, bahan dan peralatan pengamalan, taburan pengamal mengikut suku dan pembabitan dalam pertubuhan, persatuan serta kumpulan,” katanya.

Abd Latif berkata, Kitab Tib pula memberi penerangan ringkas mengenai materia medika seperti nama botani, rasa, bahagian yang digunakan dan kesan farmakologikal yang dinyatakan dalam manuskrip.

“Buku ini boleh dijadikan rujukan penyelidik, industri herba dan pelajar serta berguna kepada orang awam untuk mempelajari lebih mendalam keunikan amalan perubatan tradisional Melayu.

“Travelog pula adalah catatan kembara yang diilhamkan daripada pengalaman pembantu penyelidik dalam projek kajian. Ia untuk mengumpul dan menyediakan maklumat serta pangkalan data mengenai industri herba di negara ini.

“Buku Sri Herba pula pangkalan data bagi merekodkan maklumat bancian dan tinjauan yang dijalankan penyelidik FRIM bagi membolehkan pihak berkepentingan mendapat akses mengenai maklumat terkini berkaitan industri herba,” katanya.

Beliau berkata, FRIM sudah lama berkecimpung dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi (R,D&C) tumbuhan ubatan dan beraroma.

“Persidangan itu antara aktiviti R,D&C dan hasil kajian daripada dua projek ditaja MOA iaitu Projek Pendokumentasian Secara Komprehensif Pengetahuan Tradisi Masyarakat Melayu berkaitan tumbuhan ubatan dan Projek Kajian Rantaian Nilai Industri Herba Terpilih.

“Kajian dan dokumentasi pengetahuan tradisi biodiversiti terutama tumbuhan ubatan penting dari segi pembangunan produk moden.

“Dengan adanya pangkalan data yang komprehensif, kajian lanjut dapat dilaksanakan untuk meneroka potensi tumbuhan ubatan bagi dimajukan untuk kegunaan terapeutik atau kosmetik.

“Kajian rantaian pula penting kerana dalam proses pemodenan industri herba, maklumat asas perlu diketahui. FRIM memulakan kajian industri ini sejak 2011,” katanya.

PIH 2015 juga memberi peluang kepada peserta industri berasaskan herba mewujudkan rangkaian kerjasama dan meningkatkan kesedaran mengenai potensi industri itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Seramai 300 peserta dari seluruh negara termasuk wakil masyarakat Orang Asli menghadiri persidangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:22 AM