MAKMAL Komputer iMac turut disediakan.
MAKMAL Komputer iMac turut disediakan.

Kolej Poly-Tech MARA Ipoh (KPTM Ipoh), sebuah institusi pengajian tinggi swasta dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kampus di tengah-tengah bandar raya Ipoh ini menawarkan kursus dalam bidang pengajian multimedia.

Ditubuhkan pada tahun 1996, KPTM Ipoh yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Infotech MARA Ipoh memulakan operasi dengan menawarkan kursus jangka pendek sebelum diikuti program pengajian sepenuh masa peringkat diploma dalam bidang multimedia.

Kini KPTM Ipoh menawarkan dua program pengajian iaitu Diploma Multimedia serta Diploma Pengurusan dan Multimedia.

Bagi program Diploma Multimedia, pelajar didedahkan dengan pelbagai jenis perisian multimedia serta penggunaan dan aplikasinya.

Pengemaskinian kandungan kursus setiap tiga tahun sekali menjadikan program berkenaan memenuhi kehendak industri.

Antara kelebihan program ini ialah ia tidak hanya menjurus kepada satu kemahiran, sebaliknya merangkumi semua bahagian dalam multimedia meliputi pembangunan laman sesawang, penghasilan CD-learning/ courseware, animasi, audio video, reka bentuk grafik dan pengurusan projek. Ia turut merangkumi kursus berkaitan teknologi maklumat seperti pengaturcaaran, pangkalan data dan rangkaian multimedia.

Syarat kemasukan ialah lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya tiga kredit dalam mana-mana subjek serta lulus Matematik.

Program Diploma Pengurusan dan Multimedia pula menawarkan pengajian di bidang pengurusan dengan penambahan kemahiran multimedia.

Program ini mendapat sambutan pelajar yang mahukan kelainan dalam kursus pengurusan. Elemen multimedia yang diselitkan dapat menjadikan pelajar di bidang pengurusan lebih kompetitif dalam industri.

Bagi setiap program ditawarkan kolej ini, ia dilengkapi dengan kursus pengajian umum seperti Matematik, Perakaunan, Komunikasi, Pengajian Islam, Keusahawanan dan Khidmat Masyarakat serta beberapa kursus berkaitan bagi melahirkan pelajar yang mampu bersaing dalam industri.

Bekas pelajar Diploma in Multimedia yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Alrazi Zarini berkata, KPTM Ipoh membuka mindanya dalam bidang multimedia.

“Saya bertuah kerana terpilih mengikuti program disediakan pihak kolej. Kemudahan lengkap dan infrastruktur selesa untuk belajar menarik minat saya belajar di sini,” katanya.

Sejak penubuhan KPTM Ipoh, hampir 3,000 graduan menamatkan pengajian. Pendaftaran pelajar bagi program diploma dibuka bagi sesi Januari dan Julai setiap tahun. Pihak kolej boleh dihubungi di talian 05-2421003 atau dengan melayari laman web di http://ipoh.kptm.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:23 AM