EKSPO Pendidikan Tinggi 2019 disertai 300 institusi, kolej dan universiti.
EKSPO Pendidikan Tinggi 2019 disertai 300 institusi, kolej dan universiti.
Syarifah Dayana


EKSPO Pendidikan Tinggi 2019 dijangka menawarkan lebih banyak pilihan untuk mereka yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Acara yang diadakan pada 16-17 Mac serta 23-24 Mac ini di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memberi ruang kepada pelajar lepasan sekolah, ibu bapa, guru, pelajar universiti, golongan pekerja, ahli industri dan orang awam yang mencari peluang pendidikan tinggi.

Penasihat Ekspo, Datin Jercy Choo berkata, acara itu adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan individu yang berminat melanjutkan pengajian praijazah dan pascaijazah.

“Ekspo ini memberi jawapan kepada pertanyaan mengenai kolej dan universiti terbaik, bidang pengajian, biasiswa dan peluang kerjaya,” katanya.

Acara yang disertai 300 institusi, kolej dan universiti itu memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan nasihat terbaik daripada ahli pendidikan dan kaunselor mengenai kursus dan bidang akademik yang boleh diperoleh di Malaysia dan luar negara.

Beliau berkata, pengunjung berpeluang memilih pelbagai bidang merangkumi Pengurusan Hotel, Perakaunan, Penerbangan, Bakeri, Masakan, Kecantikan, Pengajian Perniagaan, Penyiaran, Undang-undang, Sains Tambahan, Pengajian Komunikasi, Kejuruteraan dan Multimedia.

“Orang awam boleh meneroka pelbagai pilihan baharu dalam tawaran pendidikan di ekspo ini,” katanya.

Dalam masa sama, ekspo itu menawarkan Ceramah Kerjaya yang memberikan maklumat dan nasihat kerjaya secara langsung daripada pemimpin dan pakar industri berpengalaman.

“Ceramah itu memberikan pandangan jelas terhadap bidang dan kerjaya yang ingin diceburi serta menyediakan sesi perkongsian pengalaman mengenai cabaran yang bakal ditempuh sepanjang pengajian dan kerjaya.

“Penyertaan untuk sesi ini adalah terhad dan pengunjung dinasihatkan datang awal,” katanya.

Ekspo ini dibuka bermula jam 11 pagi hingga 7 malam setiap hari dengan kemasukan percuma.

Maklumat lanjut boleh dilayari http://www.sureworks.info.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:02 AM