NORITA
NORITA

Kuala Lumpur: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya mewujudkan Program Pemecut MaGIC (MAP) bagi melahirkan lebih ramai usahawan baharu atau ‘startup’ di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Operasi MaGIC Norita Jaafar berkata, MAP adalah program terbesar MaGIC tahun ini diilhamkan daripada model ‘Startup Chile’ dan bakal menjadi program pemecut keusahawanan terbesar di rantau ini.

“MAP bertujuan mengembangkan komuniti ‘startup’ serantau dan membina masyarakat keusahawanan sosial,” katanya.

Beliau berkata, program empat bulan itu dibiayai sepenuhnya MaGIC dan peserta berpeluang mendapat manfaat daripada tenaga pengajar, mentor serta pakar industri terbaik dari seluruh dunia.

“Menerusi MAP, interaksi antara usahawan dimaksimumkan, termasuk melalui perbincangan berkumpulan, selain didedahkan dengan kajian pasaran di ASEAN,” katanya.

Norita berkata, sejak dirasmikan April tahun lalu, MaGIC melatih 13,800 usahawan menerusi Akademi Startup MaGIC (MSA) dengan kebanyakannya terdiri daripada individu atau syarikat yang menggunakan teknologi tinggi dalam operasi atau perniagaan.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 6:30 AM