SUKARELAWAN MAP membersihkan rumah mangsa banjir, Khamis lalu. FOTO ihsan MAP
SUKARELAWAN MAP membersihkan rumah mangsa banjir, Khamis lalu. FOTO ihsan MAP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Simpati dengan nasib menimpa mangsa banjir di Lembah Klang, badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Amal Pengguna (MAP) menyediakan khidmat mencuci rumah secara percuma.

Ia sebagai bantuan sukarela yang disediakan kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung dalam bencana yang menjejaskan sebahagian besar kawasan di Shah Alam dan Hulu Langat.

Presiden MAP, Shahrudin Bakar berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu ribuan mangsa terjejas minggu lalu untuk membersihkan rumah mereka yang dinaiki air sebelum ini.

"Kita tahu fasa pemulihan memang mengambil masa dan memerlukan tenaga yang ramai untuk pembersihan.

"Jadi MAP menawarkan khidmat bantuan percuma kepada mangsa terbabit dengan harapan ia membantu meringankan beban yang ditanggung dalam bencana dahsyat ini," katanya.

Shahrudin berkata, ketika ini seramai 30 orang sukarelawan MAP memberi fokus kepada mangsa di sekitar Sungai Nanding Hulu Langat dan akan bergerak ke kawasan lain selepas ini.

Menurutnya, semua sukarelawan sebelum ini berpengalaman bekerja dengan beberapa NGO tempatan dan biasa dengan kerja susulan selepas bencana.

"Kita berharap, dengan bantuan ini, kerja-kerja membersih rumah akan menjadi lebih mudah. Selain itu ia juga medan melatih sukarelawan untuk bersedia dengan pelbagai kemungkinan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Insya-Allah, MAP boleh dihubungi di Facebook dan kita akan susun pasukan untuk pembersihan di kawasan terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 11:47 AM