DONNARUMMA disebut pengganti Buffon.
DONNARUMMA disebut pengganti Buffon.

Milan: Juara bertahan, Juventus melayan kunjungan AC Milan dalam pertembungan berprofil tinggi malam ini apatah lagi Gianluigi Buffon bakal berdepan penjaga gol lawan yang disebut-sebut sebagai bakal penggantinya di gawang Itali.

Juventus mahu melupakan aksi hambar awal musim tetapi dengan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Fiorentina bermakna banyak yang perlu mereka lakukan jika mahu mempertahankan ‘scudetto’.

Dalam perlawanan yang pastinya dikawal lebih ketat susulan serangan di Paris, tumpuan pasti terarah kepada penjaga gol yang bakal bersaing untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Buffon, 37, bakal bertemu penjaga gol Milan Gianluigi Donnarumma, 16, yang disebut-sebut penggantinya di gawang Itali. Donnarumma membuat kemunculan pertamanya ketika menang 2-1 ke atas Sassuolo bulan lalu dan sejak itu, penjaga gol utama Milan Diego Lopez diletakkan di bangku simpanan.

Milan mengumpul 10 mata sepanjang empat perlawanan sebelum ini dan kini ketinggalan tujuh mata di belakang La Viola dan semua keputusan itu dibantu ‘tangan emas’ Donnarumma.

Juventus pula masih belum tentu dapat menurunkan penyerang Croatia Mario Mandzukic selepas dia mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Russia manakala Paulo Dybala belum cukup cergas selepas mewakili Argentina pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Begitupun, penyerang Juve Alvaro Morata berkata: “Kami masih laparkan kemenangan. Kami mahu kembali menduduki tangga teratas liga kerana itu tempat kami.”

Sementara itu, walaupun kehilangan penyerang Mario Balotelli akibat kecederaan, jurulatih Milan Sinisa Mihajlovic boleh menggantung harapan kepada Carlos Bacca and M’Baye Niang selain turut boleh menurunkan Giacomo Bonaventura.

Pertahanan Milan Alessio Romagnoli yang baru-baru ini dilabel ‘Andrea Nesta baru’, enggan menafikan peluang Juve untuk muncul juara tahun ini tetapi berkata Rossoneri perlu meneruskan aksi hebat mereka seperti dipamerkan sebelum ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:22 AM