Milan: Kapten Juventus Gianluigi Buffon (gambar) mahukan aksi lebih baik biarpun menang 2-1 ke atas Napoli yang menyebabkan juara Serie A itu mendahului empat mata di depan pencabar mereka.

Jaringan kemenangan menerusi bekas penyerang Napoli Gonzalo Higuain meletakkan Juve empat mata di depan AS Roma dan kini Napoli ketinggalan tujuh mata selepas AC Milan dan Lazio menang membolehkan mereka masing-masing naik ke tangga ketiga dan keempat.

Biarpun jurulatih Juve Massimiliano Allegri memuji skuad itu, Buffon berkata ia masih belum mencukupi.

Buffon, salah seorang penjaga gol terhebat dan bekas juara Piala Dunia masih belum memenangi gelaran Liga Juara-Juara dan pada usia 38 tahun, masanya semakin suntuk. Juve menanti kunjungan Lyon pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini untuk menempah tiket kelompok 16 terakhir, dengan kemenangan akan menyaksikan kelab Itali itu tujuh mata mendahului kelab Ligue 1 dengan baki dua perlawanan.

Namun jika juara Itali itu ingin menewaskan pasukan seperti Real Madrid, Bayern Munich dan Barcelona untuk menakluki gelaran utama kelab bola sepak Eropah, Buffon berkata kualiti mereka perlu dipertingkatkan.

“Kemenangan yang hebat bagi kami ke atas pasukan hebat yang sungguh kami hormati. Napoli membuat kami menderita,” kata Buffon.

“Kami perlu memperbaiki beberapa aspek permainan dan masih bergelut untuk menterjemahkan arahan jurulatih kepada aksi di padang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:44 AM