Kota Bharu: Majlis Perniagaan ASEAN (ABAC) membentangkan tujuh cadangan membabitkan lapan sektor di mesyuarat menteri ekonomi ASEAN bagi mencapai usaha integrasi ekonomi rantau ini.

Pengerusi ABAC Malaysia, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, cadangan itu membabitkan sektor pendidikan dan keusahawanan yang dilihat mendapat pertimbangan serius oleh negara anggota.

Katanya, cadangan yang akan dibentangkan kepada menteri ekonomi negara ASEAN itu ialah makanan, latihan amali, persatuan usahawan muda, persatuan usahawan wanita, penubuhan kumpulan pakar kewangan dalam sekretariat ASEAN, e-dagang serta infrastruktur perundangan, percukaian dan kewangan.

“Cadangan yang dipanggil sebagai perlu tindakan segera bukan secara keseluruhan berkaitan dengan ekonomi tetapi sangat simbolik dan mempunyai impak tinggi kepada integrasi ASEAN sebagai ekonomi tunggal.

“Cadangan ABAC kepada negara ASEAN juga berkait rapat dengan manfaat daripada pasaran terbuka menerusi AEC,” katanya kepada media di luar mesyuarat persediaan pegawai kanan ekonomi sempena Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN ke-21, baru-baru ini.

Menurutnya, penubuhan pakar kewangan dalam Seketariat ASEAN adalah penting untuk melaksanakan keputusan yang dipersetujui oleh negara anggota berkaitan pasaran modal dan perkhidmatan kewangan yang belum direalisasikan.

Munir berkata, bagi cadangan membabitkan e-dagang yang mempunyai potensi pertumbuhan sehingga sembilan kali ganda, ia perlu diberikan penekanan bagi meningkatkan keyakinan pengguna kepada sektor berkenaan.

Selain itu, program latihan amali merentasi sempadan juga perlu dikembangkan bukan hanya kepada pelajar universiti, malah membabitkan bidang vokasional dan pusat kemahiran teknikal.

“Penubuhan Persatuan Usahawan Muda dan Wanita ASEAN amat signifikan untuk memanfaatkan struktur demografik yang sangat menarik di rantau ini.

“ABAC juga akan mengulangi cadangan sebelum ini membabitkan kad perniagaan Asia Pasifik untuk tujuan menggalakkan ahli perniagaan mengembara di sekitar rantau ini dan langkah mewujudkan laluan ASEAN di semua pintu masuk antarabangsa bagi meningkatkan keistimewaan menjadi rakyat di negara anggota,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan mata wang tunggal ASEAN, Munir berkata, ia tidak akan berlaku kerana setiap negara mempunyai dasar tersendiri termasuk perbezaan dari segi kewangan dan pengawal seliaan.

“Sebagai contoh, kita dapat lihat negara Eropah menggunakan mata wang tunggal euro, ia tidak stabil dan sering berdepan krisis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:24 AM