PPM Semporna gagalkan cubaan seludup ayam sabung ‘sigun’, malam tadi. FOTO ihsan PPM Semporna.
PPM Semporna gagalkan cubaan seludup ayam sabung ‘sigun’, malam tadi. FOTO ihsan PPM Semporna.
Junaidi Ladjana

am@hmetro

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup 40 ayam sabung 'sigun' bernilai RM32,000 ke negara ini di kawasan laut Gelam-Gelam, dekat sini, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, sepasukan anggota PPM Semporna yang menjalankan operasi Tugas Khas, pada 8.45 malam, di kawasan laut terbabit terserempak dengan bot laju dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka mengekori bot berkenaan sebelum menahannya untuk tujuan pemeriksaan dan mendapati tiga orang termasuk wanita berada di atas bot terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui 40 ayam sabung jenis 'sigun' yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia 29, 52 dan 61 tahun dan barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Ayam itu diberi nama 'sigun' oleh penduduk tempatan dan digunakan untuk tujuan judi sabung ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 1:59 PM