IKAN yang ditangkap dengan menggunakan bahan letupan dirampas PPM Semporna. FOTO ihsan PPM
IKAN yang ditangkap dengan menggunakan bahan letupan dirampas PPM Semporna. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh


Semporna: Remaja lelaki antara tiga individu yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Gelam-Gelam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 14 hingga 38 tahun itu ditahan PPM ketika sedang melakukan kegiatan mengebom ikan di kawasan terbabit.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggotanya membuat rondaan di sekitar kawasan terbabit sebelum terserempak dengan perahu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga individu termasuk remaja berusia 14 tahun sedang leka memungut ikan di perairan terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 250 kilogram ikan dan juragan mengakui bahawa semua ikan berkenaan ditangkap dengan menggunakan bahan letupan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, semua individu terbabit terpaksa ditahan dan ikan dirampas serta dibawa ke Pangkalan Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 4:54 PM