AFDLIN (kanan) dan Aziz (kiri) beri sokongan kepada pemain Harimau Malaya di Amman.
AFDLIN (kanan) dan Aziz (kiri) beri sokongan kepada pemain Harimau Malaya di Amman.

Amman, Jordan: Pelakon dan pelawak terkenal Afdlin Shauki yakin skuad Harimau Malaya mampu menewaskan Palestin dalam aksi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman hari ini.

Afdlin, 44, yang berada di Amman bagi program bantuan kemanusiaan pelarian Syria bersama Muslim Care Malaysia sempat singgah di hotel penginapan skuad negara di Amman untuk bertemu pemain dan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Menurut pengacara Superspontan All Stars itu yang juga penyokong setia Harimau Malaya, beliau teruja apabila mendapat tahu pemain negara berada di Amman dan mengambil masa bertemu sebelum pulang ke Malaysia malam tadi.

“Saya memang peminat Harimau Malaya dan apabila tahu mereka ada di sini, saya terus datang untuk memberikan sedikit sokongan dan kata-kata semangat kepada mereka.

“Saya yakin pasukan negara boleh menewaskan Palestin dengan pemain yang kita ada sekarang,” katanya.

Afdlin serta beberapa anggota Muslim Care Malaysia termasuk pengarah tersohor Aziz M Osman sudah berada di Amman sejak Sabtu lalu untuk menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria di kem pelarian Mafraq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:16 AM