AHMAD Musa yang dibebaskan dari penjara Jordan dihantar pulang ke tanah air, kelmarin.
AHMAD Musa yang dibebaskan dari penjara Jordan dihantar pulang ke tanah air, kelmarin.

Kuala Lumpur: “Antara punca penahanan saya kerana membantu pelarian Syria di sana dan disebabkan visa pelajar sudah tamat tempoh.

“Saya reda (dihalau keluar dari Jordan), namun agak terkilan kerana pengajian hanya berbaki lima bulan sahaja lagi untuk dihabiskan,” kata pelajar Malaysia di Jordan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.

Aktivis kemanusiaan berusia 24 tahun itu adalah pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ) yang ditahan pihak berkuasa Jordan selama enam hari dan dihantar pulang kelmarin.

Ahmad Musa yang menuntut dalam jurusan syariah di Universiti Al Bayt, Jordan berkata, dia ditahan Khamis lalu dan dibawa ke tiga penjara berbeza di Amman, Jerash dan Mafraq.

“Pihak berkuasa di sana memaklumkan antara sebab saya ditahan kerana visa pelajar sudah tamat tempoh sedangkan sebelum ini, pelajar yang didapati tidak memperbaharui visa (pelajar) hanya perlu membayar denda berdasarkan jumlah hari tinggal melebihi masa di Jordan.

“Selain itu, saya juga ditahan kerana terbabit membantu pelarian Syria di negara itu dan ia adalah faktor utama penahanan saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah tiga kali dipanggil menemui pihak berkuasa berhubung pembabitannya dalam membantu pelarian Syria di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:38 AM