AISKRIM gulung.
AISKRIM gulung.
AISKRIM yang digulung sebelum diletakkan ke dalam mangkuk.
AISKRIM yang digulung sebelum diletakkan ke dalam mangkuk.
ANTARA 'topping' yang disediakan secara percuma untuk pelanggannya.
ANTARA 'topping' yang disediakan secara percuma untuk pelanggannya.
GAN (kanan) dan pembantunya, Hazwani membuat aiskrim gulung.
GAN (kanan) dan pembantunya, Hazwani membuat aiskrim gulung.
KEBANYAKAN yang datang membeli aiskrim gulung terdiri daripada belia.
KEBANYAKAN yang datang membeli aiskrim gulung terdiri daripada belia.
SUASANA kedai asikrim gulung Gan pada waktu petang.
SUASANA kedai asikrim gulung Gan pada waktu petang.

FATIN FARHANA JAPRE lihat ramai remaja yang berkongsi video dan memuat naik gambar aiskrim gulung di laman sosial mereka.

Jika kita lihat, cuaca di Malaysia kadangkala terlampau panas dan berjerebu, tetapi bagi siapa yang bijak menghidu peluang, akan wujudlah pelbagai jenis minuman untuk dijual bagi menghilangkan rasa dahaga orang ramai.

Sebelum ini, aiskrim pasu yang menjadi bualan hangat. Kini tidak lagi apabila aiskrim gulung pula mencetuskan fenomena baru. Boleh dikatakan menjadi kegilaan remaja seluruh Malaysia.

Pastinya, kesenian aiskrim tidak pernah menghampakan mata dan keinginan tekak anda. Jika dulu aiskrim pasu dikatakan unik kerana bekas tanaman digunakan.

Uniknya aiskrim gulung kerana ia digoreng nipis di atas kuali sejuk sebelum digulung seperti popiah.

Baru-baru ini penulis menemu bual seorang gadis muda berbangsa Cina yang berniaga aiskrim gulung dan mencuba sendiri keunikan pencuci mulut yang hangat diperkatakan di laman sosial.

Meskipun bekerja sebagai kerani sepenuh masa di sebuah syarikat swasta, Gan Chia Yean (Gan), 24, tidak melepaskan peluang menjana pendapatan sampingan berniaga aiskrim gulung di Jonker Walk, Melaka.

Bermodalkan lebih RM3,000 hasil duit simpanannya sendiri, kini sudah hampir dua tahun Gan berniaga di situ.

Gan berkata, ideanya berniaga aiskrim gulung tercetus sesudah pulang dari bercuti di Thailand bersama keluarganya dua tahun lalu. Setibanya di Malaysia, dia mula menggunakan kreativitinya sendiri mengolah resipi aiskrim berkenaan.

“Sangat mudah untuk menghasilkan aiskrim gulung, tetapi kerana banyak sangat permintaan, saya mengambil seorang pekerja, Hazwani Mohd Tahar, 19, bagi membantu supaya pelanggan tidak perlu menunggu lama.

“Tiada rahsia dalam resipi aiskrim gulung saya cuma yang uniknya hanyalah aiskrim segar dibuat ketika itu juga dan digulung seperti popiah.

“Pelbagai perisa aiskrim yang disediakan antaranya perisa buah-buahan seperti mangga, strawberi, lemon, coklat, dan banyak lagi dengan harga tetap RM8 semangkuk. Manakala setiap pelanggan akan diberikan empat jenis ‘topping’ percuma seperti kacang, jeli, biskut dan taburan oreo. Pelanggan saya juga tidak perlu menunggu lama kerana setiap satu aiskrim gulung memerlukan lebih kurang tiga minit untuk siap dihidangkan.

“Saya berniaga setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di sini. Sambutan orang ramai amat menggalakkan,” katanya.

Percubaan penulis sendiri, rasa aiskrim ini sama seperti aiskrim lain, tetapi lebih lembut apabila ia mencair dalam mulut. Cuma teknik aiskrim yang cair dan dibekukan sebelum digulung antara faktor semua orang ingin mencuba. Bagi yang belum mencuba, mesti terfikir bagaimana aiskrim berkenaan dinipiskan dan kemudian menjadi gulungan kecil seakan-akan popiah.

Daripada penelitian penulis, susu segar pelbagai perisa diletak di atas kuali sejuk sebelum digaul menjadi beku seperti aiskrim. Kemudian lapisan aiskrim dinipiskan sebelum digulung kecil dan dimasukkan ke dalam mangkuk. Selepas itu, barulah ditaburkan empat jenis ‘topping’ di atasnya.

“Remaja Melayu, Cina dan India gemar membeli aiskrim gulung saya. Malah, ada yang sudah menjadi pelanggan tetap. Orang Melayu tidak perlu risau kerana aiskrim gulung ini memang halal dan saya tidak menggunakan bahan terlarang,” kata Gan.

Menurut seorang pelanggannya, Puteri Malisa Zainudin, 22, dia mendapat tahu adanya aiskrim gulung ini dari laman sosial Instagram dan terus mencarinya sampai ketemu.

Katanya lagi rasa aiskrim gulung memang berbeza daripada aiskrim biasa kerana ia lebih lembut. Uniknya pula, pelanggan boleh melihat secara langsung cara pembuatannya sehingga menjadi aiskrim yang digulung.

Lain pula bagi Nor Athikah Abdul Rahman, 22, apabila cara pembuatan aiskrim gulung ini menarik hatinya untuk merasa sendiri aiskrim berkenaan. Sebelum ini dia hanya berpeluang melihat gambar aiskrim gulung yang dimuat naik rakannya dari Langkawi. Kini dia berpeluang merasainya sendiri ditambah pula dengan adanya pelbagai perisa yang menarik dan harga berpatutan sangat membuatnya rasa berpuas hati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:00 AM