SEBANYAK 10,000 anak pokok sayur boleh ditempatkan di sini.
SEBANYAK 10,000 anak pokok sayur boleh ditempatkan di sini.
RAK bahagian tepi digunakan untuk letak tapak semaian.
RAK bahagian tepi digunakan untuk letak tapak semaian.
PELANGGAN memilih anak pokok.
PELANGGAN memilih anak pokok.
BAJA untuk pembesaran pokok dan buah juga turut dijual.
BAJA untuk pembesaran pokok dan buah juga turut dijual.
 ISTERI turut membantu.
ISTERI turut membantu.
SIRAMAN dilakukan setiap hari untuk kesegaran anak pokok.
SIRAMAN dilakukan setiap hari untuk kesegaran anak pokok.
Mohd Ashraf Shuib


Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Apatah lagi bidang pertanian kini menjadi perniagaan dan ia bukan lagi sekadar bercucuk tanam.

Ini dibuktikan Ghazali Abdullah, 50, yang dulunya bergelar petani tanaman kontan seperti cili, terung dan timun di tanah sendiri berkeluasan 0.4 hektar di Semodong, Perlis, kini beralih kepada menjual anak pokok sayur.

“Idea untuk menjual anak pokok sayur tercetus apabila saya diminta membekalkan anak pokok sayur kepada Jabatan Pertanian Perlis untuk diletakkan di Rumah Perlis di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Serdang, Selangor, pada tahun 2008.

“Kemudian, anak pokok yang saya hasilkan mendapat permintaan daripada peniaga untuk dijual di pasar pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman RPA Chuping, baru-baru ini.

Beliau menggunakan laman tepi rumahnya sebagai tempat menyemai anak pokok.

“Saya mula menyemai dan menjual anak pokok sayur pada 2008.

“Selepas dua tahun, pada 2010, saya mendapat bantuan rumah pelindung hujan (RPH) bersaiz 16 kaki lebar dan 40 kaki panjang dari Jabatan Pertanian Perlis untuk dijadikan tapak semaian di laman rumah.

“Hingga kini, RPH berkenaan sangat bermanfaat apabila dapat melindungi anak pokok dari panas matahari dan hujan lebat yang boleh merosakkan daun anak pokok yang lembut,” katanya.

Ghazali berkata, sebanyak 10,000 anak pokok dapat disemai di bawah RPH di rumahnya dalam satu-satu masa.

“Biji benih akan disemai di dalam bekas semaian selama 14 hari, kemudian anak pokok akan dipindahkan ke dalam beg semaian bersaiz sembilan inci tinggi dan sembilan inci lebar yang sudah diisi ampuran tanah serta arang sekam padi.

“Anak pokok di dalam beg semaian sedia untuk dijual apabila berusia 45 hari selepas disemai dan boleh berbuah selepas sebulan ditanam.

“Antara anak pokok yang dijual adalah anak pokok cili merah, cili api, terung panjang ungu, terung panjang hijau, terung panjang putih, terung bulat, tomato dan betik,” katanya.

Dia turut mendapat bantuan peralatan serta khidmat nasihat daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis.

Perniagaan keluarga ini turut dibantu isteri, Halida Ali, 45, selain anak iaitu Mohd Saiful, 18, dan Mohd Saifudin, 12.

“Peniaga di pasar pagi menjual anak pokok yang diborong daripada saya dengan RM1.50 sepokok.

“Apabila tiba musim hujan, anak pokok ini sangat laris. Ini kerana anak pokok yang ditanam tidak perlu selalu disiram dan anak pokok lebih cepat membesar serta mengeluarkan hasil.

“Selain dijual di pasar pagi, anak pokok yang saya semai juga dibeli petani untuk ditanam di kebun mereka,” katanya.

Ghazali juga menjual sendiri anak pokok sayur di tapak ekspo pertanian yang diadakan di Perlis dan Kedah.

Selain anak pokok sayur, turut dijual adalah tanah semaian, baja, anak pokok herba dan juga anak pokok buah-buahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 12:56 PM