HANIFA dan Diran mengusahakan tanaman pokok cili bagi menangani kegawatan ekonomi.
HANIFA dan Diran mengusahakan tanaman pokok cili bagi menangani kegawatan ekonomi.
HANIFA dan Diran teruja bila pokok cili mula berbuah.
HANIFA dan Diran teruja bila pokok cili mula berbuah.
SEPOKOK boleh menghasilkan berpuluh-puluh biji cili.
SEPOKOK boleh menghasilkan berpuluh-puluh biji cili.
CILI yang dipetik dilonggokkan.
CILI yang dipetik dilonggokkan.
SELAIN cili, rock melon turut diusahakan.
SELAIN cili, rock melon turut diusahakan.
PROSES penyaluran air ke pokok yang menggunakan kaedah moden.
PROSES penyaluran air ke pokok yang menggunakan kaedah moden.
KAEDAH moden tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.
KAEDAH moden tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Rodly Fadly

Melihat ladang cili yang menghijau luas di depan mata, tidak ramai percaya ia diusahakan dua beranak yang pada asalnya ‘buta’ mengenai pertanian.

Ini kerana sebelum terbabit dalam bidang berkenaan, Mohd Hanifa Mokhtar, 68, bertugas dalam industri minyak dan gas manakala anaknya, Adi Diran Hans, 33, pula seorang ahli perniagaan.

Namun keberanian Hanifa dan Diran untuk mencuba, di samping sikap tidak malu bertanya serta belajar ternyata berbaloi apabila mereka muncul sebagai pengusaha ladang cili yang berjaya di Ijok, Selangor.

Ia bermula apabila kedua beranak itu terkena tempias kegawatan ekonomi. Keadaan itu memaksa mereka mencari alternatif demi kelangsungan hidup.

Akhirnya Hanifa dan Diran sepakat menukar status ladang kelapa sawit warisan keluarga kepada ladang cili membabitkan kawasan seluas satu hektar untuk menanam 8,000 pokok cili jenis 461.

Hanifa berkata, walaupun bidang pertanian terlalu asing bagi mereka, selepas hampir setahun terbabit, dia mula jatuh cinta dengan bidang ini.

“Melihat apa yang ada di depan mata sekarang, saya sendiri seperti tidak percaya ia hasil usaha saya dan Diran.

“Seumur hidup kami sebelum ini memang tidak pernah pegang cangkul walaupun untuk berkebun secara kecil-kecilan di belakang rumah.

“Namun dalam keadaan tercari-cari untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup, saya fikir mengapa tidak kami mencuba bidang pertanian walaupun hakikatnya kami tidak tahu selok-belok bertani,” katanya.

Menurutnya, mereka beruntung kerana seorang anak muda di kampung berkenaan, Noor Azwan Nordin (Wan) yang sudah berjaya sebagai pengusaha ladang cili tidak lokek menurunkan ilmu secara percuma.

“Atas nasihat dan tunjuk ajar Wan, kami memulakan projek tanaman cili secara kecil-kecilan. Sebagai percubaan, pada Mei tahun lalu, kami menanam 1,000 pokok cili dalam beg semaian di kawasan berkenaan.

“Pada awalnya agak kekok kerana bidang ini menyimpang jauh daripada kerjaya kami selama ini. Tetapi, pengalaman yang kami lalui setiap hari menjadi guru untuk menambah ilmu mengenai pertanian.

“Di samping itu, saya juga banyak menimba pengetahuan melalui pembacaan di laman maya. Apabila mendapat hasil pertama, ia sangat memberangsangkan serta menambahkan keyakinan kami untuk menjadikan penanaman cili sebagai kerjaya baru,” katanya.

Sementara itu, Diran berkata, mereka memilih cili kerana ia tanaman yang tidak banyak kerenah serta mudah dijaga. Apatah lagi, mereka menggunakan kaedah moden yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Menggunakan penanaman secara fertigasi, kami tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun. Apabila sampai masa, kami akan menggantikan pokok lama dengan pokok baru menggunakan beg semaian sama.

“Malah, sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja. Kami hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang kami tetapkan,” katanya.

Menurutnya, penanaman cili dapat memberi hasil yang cepat iaitu dalam tempoh 84 hari selepas dipindahkan daripada tapak semaian. Malah, permintaan terhadap cili jenis 461 sangat tinggi serta pulangannya juga lumayan.

Soal pemasaran juga tidak menjadi masalah kerana semua cili yang diusahakan dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Selain mengusahakan cili, mereka turut menggunakan sebahagian kawasan itu untuk menanam rock melon dan sebagai percubaan, mereka mengusahakan 6,000 pokok.

“Seperti cili, rock melon juga tidak sukar dijaga dan cepat mengeluarkan hasil iaitu dalam tempoh 75 hari. Cuma bagi memastikan ia menghasilkan buah yang berkualiti dan lebih besar, setiap pokok dihadkan kepada sebiji buah sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 10:30 AM